6 Faktor Penyebab Permohonan Pinjaman Perumahan Anda Ditolak - sayidahnapisahdotcom 6 Faktor Penyebab Permohonan Pinjaman Perumahan Anda Ditolak
LightBlog

6 Faktor Penyebab Permohonan Pinjaman Perumahan Anda Ditolak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua~! Sekarang ni harga beli rumah makin lama makin tinggi. Makin hari makin mahal. Ramai yang selesa untuk menyewa sahaja rumah. Tak kurang juga ada yang membuat permohonan pinjaman perumahan di bank. Tapi, ada sesetengah orang yang mengadu permohonan pinjaman perumahan mereka ditolak. Saya pun baru je tahu berkaitan maklumat six reason why loan perumahan ditolak di website Astro Awani. So, saya nak share kepada semua apakah 6 SEBAB tersebut bagi mengelakkan mereka-mereka yang ada salah satu daripada ENAM perkara itu memohon pinjaman perumahan. Kelak, pasti kecewa hehe.


6 Faktor Penyebab Permohonan Pinjaman Perumahan Anda Ditolak


6 Faktor Penyebab Permohonan Pinjaman Perumahan Anda Ditolak
6 Faktor Penyebab Permohonan Pinjaman Perumahan Anda Ditolak | credit image: astroawani.com
Antara faktor-faktor yang sering dikaitkan dengan penolakan pemohonan pinjaman perumahan adalah seperti berikut:

1. Rekod buruk pembayaran pinjaman

Ini lazimnya berlaku kepada pemohon yang gagal membuat pembayaran balik ansuran bulanan bagi tempoh masa yang panjang seperti enam (6) bulan ke atas. Contohnya, pinjaman kereta, kad kredit, pinjaman bercagar dan lain lain.

Apabila seseorang didapati terjerumus dalam senarai ini, maka rekodnya akan ditanda merah untuk pemerhatian khusus oleh Central Credit Reference Information System (CCRIS) yang dikendalikan oleh Bank Negara. Maka, bank komersial akan merujuk kepada rekod tersebut untuk mengenal pasti sama ada rekod pembayaran peminjam adalah baik ataupun tidak.

Oleh kerana rekod ini hanya sah untuk 12 bulan, anda dinasihati supaya membayar habis semua bayaran tertunda sebelum mencuba permohonan yang baru tahun depan.

2. Kadar pinjaman melampaui kemampuan peminjam

Pemohon harus mengetahui nisbah hutang kepada pendapatannya untuk memastikan permohonan dapat diluluskan. Kebiasaannya nisbah hutang kepada pendapatan akan dikira berdasarkan jumlah hutang bulanan termasuk komitmen individu, pinjaman perumahan lain, pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain dan dibahagikan dengan pendapatan bersih selepas menolak potongan cukai berkala, caruman KWSP dan Perkeso.

Formula yang diguna oleh bank adalah seperti berikut:

Jumlah Hutang ÷ Pendapatan Bersih* = Nisbah Hutang

*Pendapatan Bersih = Pendapatan Kasar – PCB – KWSP – PERKESO

Nisbah yang disyorkan untuk mendapatkan kelulusan bank adalah di antara 60% dan 70%. Oleh yang demikian, individu adalah dinasihatkan untuk meningkatkan pendapatan ataupun mengurangkan baki hutang yang lain sekiranya beliau ingin membuat pemohonan pinjaman baru.

3. Bankrap atau muflis

Sekiranya anda pernah diisytiharkan muflis, maka anda tidak layak untuk memperolehi apa jua pinjaman daripada bank. Biasaannya, senarai nama individu yang diisytiharkan muflis akan disiarkan dalam akhbar harian.

Lazimnya, CCRIS hanya mempunyai rekod kemuflisan sekiranya anda diisytiharkan muflis oleh bank. Agensi rekod kredit CTOS pula akan menyimpan rekod kemuflisan anda secara tetap sekiranya nama anda pernah diisytiharkan muflis oleh mana-mana bank, individu atau pertubuhan. CTOS berfungsi untuk menerbitkan senarai kemuflisan dalam sumber-sumber awam.

4. Kegagalan untuk melampirkan dokumen-dokumen penting

Dokumen-dokumen berikut adalah mustahak untuk membuat pemohonan pinjaman perumahan:

  • Borang pemohonan pinjaman yang telah diisi dengan maklumat yang benar dan tepat
  • Salinan kad pengenalan pemohon
  • Salinan Perjanjian Sewa Beli (Sales & Purchase Agreement/SPA) atau resit pesanan dan surat tawaran dari syarikat perumahan
  • Salinan Surat Ikatan Hak Individu
  • Laporan Penilaian Harta (untuk bangunan siap)
  • Salinan slip gaji untuk 3 bulan berturutan terkini
  • Salinan slip bayaran komisen untuk 6 bulan berturutan terkini sekiranya gaji berasaskan komisen
  • Salinan kenyataan caruman KWSP untuk 3 bulan berturutan terkini
  • Salinan Borang EA terkini
  • Salinan kenyataan akaun simpanan bank untuk 6 bulan berturutan terkini
  • Surat Pengesahan Tawaran Kerja dan Pembayaran Gaji

Sekiranya anda gagal untuk melampirkan dokumen-dokumen yang tertera di atas, maka ianya akan menjejaskan permohonan anda. Sekali-sekala, ianya mungkin menimbulkan prasangka bahawa dokumen-dokumen yang dilampirkan adalah palsu dan dihasilkan oleh pihak ketiga atau sindiket dokumen palsu.

Situasi ini bukan sahaja akan menyebabkan pemohonan anda ditolak, anda mungkin akan dituduh di mahkamah kerana melampirkan dokumen palsu dan akhirnya dipenjarakan.

5. Pekerjaan yang tidak tetap atau pendapatan yang tidak stabil

Adalah mustahak untuk pemohon mempunyai pekerjaaan yang tetap untuk tempoh masa tiga (3) ke enam (6) bulan kerana bank memerlukan slip gaji dari tiga (3) hingga enam (6) bulan yang terkini sebagai dokumen sokongan untuk pemohonan pinjaman perumahan.

Kestabilan pekerjaan anda adalah salah satu faktor yang penting kerana bank akan mempertimbangkan kesinambungan dan tempoh pekerjaan dengan syarikat berkenaan. Ini akan menunjukkan kestabilan pendapatan anda.

Untuk ahli perniagaan, adalah mustahak untuk menunjukkan bahawa perniagaan anda mengaut keuntungan dengan konsisten. Selain daripada itu, adalah mustahak untuk membuat kajian terdahulu bagi memilih pinjaman perumahan yang paling sesuai.

Anda boleh mendapatkan perkhidmatan broker pinjaman dari bank ataupun membuat kajian mengenai pinjaman perumahan dengan tawaran yang dibuat oleh bank-bank komersial di Malaysia.

6. Skor kredit yang kurang memuaskan

Lazimnya skor kredit adalah petunjuk sama ada anda bijak menguruskan wang anda atau tidak.  Skor kredit menganalisasi kelakuan pembayaran balik individu berdasarkan CCRIS. Antara faktor-faktor untuk menilai CCRIS anda adalah seperti berikut..

  • Rekod kredit dalam CCRIS
  • Corak pembayaran balik pinjaman dalam tempoh 12 bulan yang lalu
  • Bilangan kad kredit yang menunjukkan penggunaan dengan jumlah yang tinggi
  • Bilangan kad kredit yang digunakan sehingga melebihi jumlah had kredit
  • Bilangan kad kredit yang baru didaftar untuk mendapatkan pinjaman tinggi dalam tempoh yang singkat
  • Rekod pinjaman tidak bercagar atau pinjaman peribadi

Seandainya anda menghadapi masalah untuk menyelesaikan hutang semasa yang lain, maka adalah mustahil untuk mendapatkan kelulusan dalam pemohonan pinjaman perumahan yang baru.

Oleh yang demikian, anda haruslah melangsaikan hutang anda yang lain secepat mungkin sekiranya anda merancang untuk membeli hartanah yang baru.

Uruskan pendapatan anda dengan bijak supaya anda dapat memiliki hartanah idaman anda.

Artikel ini dihasilkan oleh iMoney.my. Untuk perbandingan atau permohonan produk-produk kewangan terbaik, seperti kad kredit, pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi, lawati www.iMoney.my.

Post a Comment

3 Comments

  1. Good info ini, saya tengah mencari rumah.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum sis Sayidah

    Dah sampai masa nak shopping rumah ya sis

    Baguslah

    Harga pun makin naik

    Salam khamis. Kejap je dah nak cuti

    ReplyDelete
  3. Bukan mudah nak buat pinjaman beli rumah kan..huhu.Tq share

    ReplyDelete

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p