Total Pageviews

Bitcoin Haram Di Malaysia Atau Tidak? Ini Penjelasan Mufti, Jawatankuasa Fatwa..

by - January 15, 2018
Terus terang dan sejujur-jujurnya di dalam hati lubuk paling dalam ini.. saya takde pun berminat atau teringin nak mencuba Bitcoin mahupun nak buat entri berkaitan Bitcoin haha. Tapi alkisahhh tadi saya terrrjumpa salah satu higlight di muka surat depan akhbar Sinar Harian (SH) yang bertajuk:

-Bitcoin haram dalam Islam-

Saya pun zupppp! Bulat mata. Seriouslyyy?! Saya pun nak tengok lah mukasurat yang mengandungi artikel tersebut tapi yang lawaknya, page tu dah digunakan dan selamat masuk ke dalam tong sampah =.=. So, saya pun search la kat Google 'bitcoin haram dalam Islam sinar harian'. Menjumpai satu artikel SH yang bertajuk "Fenomena mata wang kripto" yang ditulis oleh Marlissa Kamal pada 9 Januari 2018. Jom baca! [p/s: baca sampai habis ye for clearer explaination]

Bitcoin Haram Di Malaysia Atau Tidak? Ini Penjelasan Mufti, Jawatankuasa Fatwa..
Seorang lelaki sedang menggunakan telefon pintarnya melintasi ATM untuk matawang Bitcoin di Hong Kong, China | FOTO AFP | Credit: hmetro.com.my
2017 menyaksikan fenomena mata wang kripto dalam ekonomi politik global yang menyaksikan penggunaannya sebagai instrumen pelaburan dan kewangan.

Sistem wang digital itu direka untuk membuat transaksi yang sangat selamat dengan menggunakan kriptografi iaitu satu bentuk kod rahsia berasal daripada Perang Dunia Kedua.

Ia telah berkembang dalam era digital dengan elemen teori matematik dan sains komputer untuk menjamin keselamatan komunikasi, maklumat dan wang dalam talian.

Mata wang kripto pertama adalah Bitcoin (BTC) direka pada 2009 dan menyaksikan nilai satu Bitcoin mencecah hampir AS$20,000 (RM79,987) pada tahun lalu.

Bagaimanapun, nilainya dilaporkan menurun pada minggu lalu dan telah mencetuskan kebimbangan berlaku gelembung pasaran.      

Sejak hampir sedekad lalu, terdapat lebih 1,000 mata wang maya di internet yang didakwa memudahkan segala urus niaga kerana ia tidak memerlukan kehadiran fizikal malah tidak diselia oleh mana-mana pihak berkuasa kewangan dalam sesebuah negara.

Pengeluaran mata wang digital tersebut juga adalah terhad.

Status undang-undang mata wang kripto adalah berbeza bagi setiap negara dan ia masih belum jelas.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Saham Amerika Syarikat (SEC) memberi amaran kepada pelabur Bitcoin dan mata wang maya lain tentang aktiviti jenayah serta penipuan dalam sektor tersebut.

"Anda perlu sentiasa berhati-hati dan menyedari risiko kehilangan pelaburan yang dibuat menerusi mata wang digital. Kebanyakan pelaburan mata wang maya dan tawaran syiling permulaan (ICO) tidak mematuhi undang-undang keselamatan negeri serta persekutuan," kata pengerusinya, Jay Clayton.

Hal ini kerana, nilainya tidak menentu dan boleh merosot dalam sekelip mata.

Selain itu, pelabur juga berisiko menjadi sasaran penggodam dan penjenayah lain yang mencuri wang kripto melalui serangan siber.

Beberapa penganalisis percaya nilai bitcoin boleh meningkat 10 kali ganda  pada 2018 walaupun banyak pihak mendakwa mata wang maya itu kini berdepan situasi gelembung pasaran.

BTC mengalami lonjakan mendadak pada akhir 2017 mencecah AS$19,783 (RM79,124), namun nilainya mengalami kejatuhan AS$13,889 (RM55,580) menjelang Tahun Baharu.

Ketibaan 2018 menyaksikan wang digital alternatif seperti Ethereum atau Ether dan Ripple menunjukkan momentum mereka sendiri yang mana nilainya meningkat kepada 10 kali ganda sejak minggu lalu.

"Pelabur mungkin beralih kepada mata wang kripto lain selepas Bitcoin menjadi fenomena pada tahun lalu selepas nilainya meningkat lebih 1,300 peratus," kata koresponden teknologi, Arjun Kharpal.

Sementara itu, pakar Bitcoin, Spencer Bogart meramalkan nilai mata wang kripto mencecah sehingga AS$50,000 (RM199,980) dalam tahun akan datang.

Risiko disalah guna untuk kegiatan jenayah

Urus niaga Bitcoin adalah disulitkan dan ia hanya boleh dikesan pihak terlibat tanpa dipantau pihak pengawal selia.

"Terdapat risiko bahawa ia boleh digunakan untuk membiayai aktiviti pengganas atau kegiatan jenayah, sebab lain yang boleh menjadi jalan pintas untuk kawalan modal," kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif penganalisis data mata wang kripto, CryptoCompare, Charlie Hayter.   

Bank Rakyat China pula mendakwa tawaran syiling permulaan (ICO) adalah ancaman kepada kestabilan pasaran kewangan.

Susulan itu, kerajaan telah mengharamkan penggunaan ICO dan bank di Beijing mempunyai kuasa untuk menutup sebarang pertukaran yang melanggar undang-undang.

Korea Selatan dan Singapura turut menyuarakan kebimbangan sama terhadap fenomena mata wang kripto tersebut dan telah menutup bursa saham mereka di mana ia didagangkan.    

Antara negara yang telah melarang penggunaan Bitcoin adalah Bangladesh, Bolivia, Ecuador, Kyrgyzstan dan Indonesia dijangka mengharamkan mata wang digital itu pada tahun ini.

"Negara terbabit tidak terkesan kepada kecairan mata wang kripto atau hala tuju industri blockchain global," ujar pengasas firma data pasaran mata wang digital dan blockchain, Brave New Coin, Fran Strajnar.

Pada 2014, Bangladesh telah mengharamkan penggunaan Bitcoin sebagai sebahagian daripada usaha antipengubahan wang haram.

"Bitcoin bukan satu tender sah. Sebarang urus niaga melalui Bitcoin atau mata wang digital lain bakal berdepan hukuman," menurut pihak berkuasa kewangan di Dhaka pada masa itu.   

Vietnam turut mengenakan larangan sama selepas mendakwa mata wang maya tersebut sering dikaitkan dengan  aktiviti jenayah lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Gergasi Kewangan Amerika Syarikat, JP Morgan Chase, Jamie Dimon menyifatkan mata wang kripto sebagai 'penipuan' kerana ia bukan 'perkara sebenar' dan akan ditutup pada satu hari nanti.

Rusia mahu cipta mata wang digital sendiri

Pentadbiran Presiden Rusia, Vladimir Putin berhasrat untuk mencipta mata wang kripto untuk membantu mengelak daripada sekatan yang dikenakan ke atas negara itu yang dilihat sebagai perubahan dalam taktik pemimpin itu.

Kremlin dikatakan sedang mengkaji teknologi blockchain di sebalik Bitcoin sebagai asas untuk cryptorouble.  

Penasihat ekonomi presiden, Sergei Glazev berkata, mata wang digital boleh digunakan untuk aktiviti sensitif bagi pihak negara.

"Transaksi bersama kesemua rakan niaga di seluruh dunia boleh dilakukan tanpa mengambil kira sekatan," jelasnya kepada Financial Times.   

Oktober lalu, Putin bagaimanapun mengancam untuk menutup laman web yang menjual mata wang maya selepas mendakwa Bitcoin berpotensi digunakan untuk kegiatan jenayah.

"Pengeluaran mata wang kripto dibuat oleh individu dan badan tanpa nama. Pembelinya boleh terjerumus dalam aktiviti melanggar undang-undang," tegasnya.

Venezuela mahu lancar Petro

Krisis ekonomi yang semakin meruncing di Venezuela menyebabkan ia bertukar kepada penggunaan mata wang digital untuk memulihkan masalah itu.

Presiden Nicolas Maduro mengumumkan pelancaran mata wang digital Petro yang disokong oleh rizab minyak dan gas, emas dan berlian yang akan digunakan untuk urus niaga serta mengatasi sekatan kewangan.

Menurut Bitcoin.com, kerajaan telah membuka pendaftaran untuk pelombong dan lebih 860,000 telah mendaftar.    

Estonia keluarkan estcoin

Negara kecil di Eropah Timur, Estonia bercadang untuk mengeluarkan mata wang kripto mereka sendiri dengan bantuan pengasas mata wang digital, Ethereum, Vitalik Buterin.

Tawaran syiling permulaan (ICO) digelar estcoin itu akan dilancarkan menerusi komuniti syiling digital dan ia adalah sama seperti tawaran awam awal (IPO).    

"ICO yang disokong oleh kerajaan akan memberi rakyat pegangan lebih besar pada masa depan dan bukan hanya menyediakan pelaburan serta kepakaran dan idea untuk membantu negara berkembang dengan pesat," ujar Pengarah Urusan Enterprise Estonia, Kaspar Korjus.    

Bitcoin haram dalam Islam

Mufti Besar Mesir, Shawki Allam mengeluarkan fatwa rasmi yang mengharamkan Bitcoin selepas mendakwa perdagangan dalam mata wang kripto adalah sama seperti berjudi.

Menurut beliau, badan di Kaherah menganggap urus niaga mata wang digital tidak boleh diterima selain penggunaan mata wang maya tersebut menghalang kuasa negara dalam memelihara pertukaran wang.

Allam turut membuat perbandingan urus niaga mata wang kripto dengan perjudian yang mana ia didakwa boleh merosakkan kewangan individu.

"Bitcoin boleh memberi kesan negatif kepada keselamatan undang-undang dan  pengubahan wang haram," jelasnya.     

Bulan lalu, ulama terkenal Arab Saudi, Assim al-Hakeem juga melihat mata wang maya sebagai haram kerana statusnya masih 'samar-samar'.

"Kita tahu bitcoin kekal tanpa nama dan ia membuka pintu kepada wang haram," katanya.   

Sebelum ini, Direktorat Hal Ehwal Agama Turki mengisytiharkan urus niaga mata wang maya bertentangan dengan  Islam kerana kekurangan peraturan selain ia mempunyai kaitan rapat dengan aktiviti jenayah.

SUMBER: LINK

Bitcoin Haram Di Malaysia Atau Tidak? Ini Penjelasan Mufti, Jawatankuasa Fatwa..
Bitcoin Haram Di Malaysia Atau Tidak? Ini Penjelasan Mufti, Jawatankuasa Fatwa.. | credit image: sinarharian.com.my
Okay cukup dengan cerita di luar negara, bagaimana dengan Malaysia? Adakah bitcoin haram di Malaysia atau tidak? Apakah penjelasan Mufti-mufti di Malaysia berkaitan dengan status bitcoin ini?

Saya search search.. terjumpa lah satu artikel Harian Metro yang ditulis oleh Idris Musa pada 5 Januari 2018; bertajuk- Jawatankuasa Fatwa dapatkan pendapat pakar berkaitan Bitcoin.

Ini full artikel nya:

Keputusan sama ada menghukumkan haram atau tidak terhadap penggunaan Bitcoin iaitu mata wang kripto atau digital tidak boleh dibuat secara terburu-buru sebaliknya memerlukan kajian secara menyeluruh.

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata, perkara berkenaan memerlukan satu kajian menyeluruh oleh pakar sebelum dibentangkan dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Perkara ini tidak boleh satu negeri mendahului dengan memutuskannya secara sendirian. Ia kena ada kajian menyeluruh oleh panel pakar syariah terdiri daripada profesor dilantik di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Seterusnya hasil kajian itu dibawa ke peringkat muzakarah dihadiri mufti dan ahli dilantik. Selepas itu barulah dibawa ke peringkat negeri. Maknanya, ada tiga peringkat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta menjelaskan hukum berkaitan Bitcoin selepas Mufti Besar Mesir Shawqi Allam mendakwa penggunaan mata wang kripto itu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh menjurus kepada perbuatan jenayah.

Tambah Shawqi, mata wang itu juga boleh menjadi €˜sumber kewangan yang stabil dan terjamin™ kepada pengganas dan kumpulan penjenayah ketika ini.

Bitcoin dilancarkan pada 2009 oleh orang atau kumpulan orang tidak dikenali bawah nama Satoshi Nakamoto.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, banyak aspek perlu diambil kira dalam memutuskan sesuatu hukum mengenai perkara itu dan ia tidak boleh melihat kepada sebuah negara saja.

Malah katanya, pandangan daripada negara Arab lain seperti Arab Saudi dan Kuwait juga perlu diambil kira.

"Orang ramai kena tunggu dulu keputusan yang akan dikeluarkan nanti. Cuma yang boleh dikatakan sebagai panduan secara umum bahawa dalam hadis menyatakan sesuatu yang halal dan haram itu jelas.

"Jadi, sesuatu yang kita tidak tahu sama ada halal atau haram, kita kena berhati-hati dan lebih baik dijauhi supaya tidak jatuh kepada yang haram," katanya.

SUMBER: LINK

Itu sahaja. Conclusionnya.. for now, kena tunggu dulu keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bakal dikeluarkan. For now, Mufti kata sebagai panduan umum - "sesuatu yang kita tidak tahu sama ada halal atau haram, kita kena berhati-hati dan lebih baik dijauhi supaya tidak jatuh kepada yang haram".

Sekian.. Semoga kita semua dapat menerima penjelasan dan juga pencerahan dari alim ulama berkaitan dengan hukum Bitcoin ini dengan hati yang terbuka. Okay daaa~ wassalam! :)

You May Also Like

1 comments

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p