Total Pageviews

Tanda Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar & Bilakah Ianya Berlaku?

by - June 05, 2018
Tanda Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar | Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua~! Pejam celik pejam celik, dah masuk dah kita ke 10 malam terakhir Ramadhan Alhamdulillah. Dan malam ni adalah malam 21 Ramadhan. Seperti yang kita tahu juga, SEPULUH MALAM TERAKHIR Ramadan sangat sinonim dengan malam yang sangat istimewa dan ditunggu tunggu oleh Umat Islam; iaitu malam Lailatul Qadar.


All About Malam Lailatul Qadar - Mufti Wilayah Persekutuan

Saya ada baca satu artikel Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan dengan malam lailatulqadr ni. Al-maklumlah dah tiba di 10 malam terakhir Ramadhan ni, kena la ambil tahu kan. So, saya catatkan beberapa isi penting di sini untuk nota kita semua ye!
Tanda Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar & Bilakah Ianya Berlaku?
Tanda Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar & Bilakah Ianya Berlaku? | credit image: Mufti Negeri Sembilan
Apakah Maksud Lailatul Qadar?

Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:

1. Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
2. Al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum & ketetapan.

Apakah Kelebihan Malam Lailatul Qadar sehingga ramai yang excited dan mahu berjumpa dengan malam tersebut?

Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu.

Antara kelebihan malam tersebut ialah:

1. Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan

Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.

2. Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut

Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.

3. Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan

4. Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar.

Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan."

Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.

Apakah Tanda-Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar?

Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda & alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan.

Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat malam qadar tersebut, antaranya:

1.
Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. Lihat Umdah al-Qari 11/134.

2.
Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.

3.
Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Lihat Umdah al-Qari 11/134.

Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar, adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya?

Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461.

Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi:

“Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”

Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?

Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”
Tanda Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar & Bilakah Ianya Berlaku?
Tanda Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar & Bilakah Ianya Berlaku?
Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:

1. Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan

Hujah mereka amat banyak, antaranya:

Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”

Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”

2. Pada malam 23 Ramadan

Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلَاثَ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”

3. Pada malam 21 Ramadan

Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُطْلُبُوهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلَاثِ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Tuntutlah malam 17, 21 dan 23 Ramadan.”

4. Pada malam 24 Ramadan

Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.”
(Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi)

5. Pada malam akhir Ramadan

Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.”
(Riwayat Ibn Nasr)

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai Amalan 10 Malam Akhir Ramadhan

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulia dan agungnya malam Lailatulqadar sehingga melebihi daripada 1000 bulan. Justeru, hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.

Kami nyatakan di sini bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)” (Riwayat Muslim: 2015)

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain” (Riwayat Ahmad)

Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:
أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك

Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160).

Paling kurang, pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan. Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:
يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها

Maksudnya: Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya. Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).

Semoga kita semua meraih malam Lailatulqadar. Amin.

Artikel asal dan lengkap Mufti WP: LAITLATULQADAR... CARILAH

Tanda Tanda Berlakunya Malam Lailatul Qadar & Bilakah Ianya Berlaku?
MALAM LAILATUL QADAR.. CARILAH
Moga kita semua tidak tergolong dalam golongan yang rugi, yang tidak memanfaatkan malam-malam akhir Ramadan, terbuang begitu sahaja Aminn~!

You May Also Like

6 comments

  1. Allahu....moga kita diberi rezeki untuk menikmati malam indah ini...

    ReplyDelete
  2. Amin. Semoga sama-sama kita dapat merebut pahala di akhir ramadhan.

    ReplyDelete
  3. nice sharing.. semoga kita diberi kesempatan bertemu malam berharga itu =)

    ReplyDelete
  4. perkongsian yg bagus..harap kita smua berpeluang berjumpa malam lailatul qadar

    ReplyDelete
  5. Semoga kita semua berpeluang ditemukan dengan malam lailatulqadar

    ReplyDelete

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p