TEKNIK MENANGANI .. STREESSS! - sayidahnapisahdotcom TEKNIK MENANGANI .. STREESSS!
LightBlog

TEKNIK MENANGANI .. STREESSS!




Salam semua! Bismillahh..

Ini hasil assignment bakti siswa saya.. Bacalahh.. Tapi ayat skema lah ye. hikhik..


Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.” Tekanan yang paling dirasai adalah ketika menjalankan sesuatu perniagaan dan juga dihadapi oleh para pelajar kebanyakannya.Akan tetapi, tekanan ini boleh ditangani dengan pelbagai teknik. Antaranya adalah beribadah, meluahkan perasaan dan bersenam.
Ibadah yang khusyuk akan mendekatkan diri kepada Allah sehingga akhirnya mampu menghilangkan tekanan kerana kedamaian yang lahir daripada ibadah tersebut. Ibadah wujud dalam pelbagai bentuk iaitu hati,perbuatan dan perkataan. Kita juga digalakkan berzikir kerana secara automatiknya kita akan berasa lebih tenang.Firman Allah:“Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.”(Ar-Ra’d 13:28). Terdapat satu cerita pada zaman Rasulullah,seorang lelaki telah mendatangi Abdullah ibn Masud r.a. dan berkata:“Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku.Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut kemusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada.”Abdullah ibn Masud r.a. telah menjawab: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang sedang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.” Lelaki itupun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, didapati jiwanya telah berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.
Seterusnya, tekanan dapat dihilangkan dengan teknik meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Luahkan dan berkongsi masalah kepada ahli keluarga dan kawan rapat adalah cara paling terbaik bagi menghilangkan tekanan. Mungkin mereka boleh menyelesaikan masalah yang kita hadapi atau sekurang-kurangnya mereka boleh menolong dengan menjadi pendengar yang baik. Jika kita tidak mahu melibatkan keluarga dan kawan rapat kita tersebut,kita boleh meluahkannya dengan menjerit sekuat hati di tempat yang sunyi atau lapang seperti bukit atau menulisnya di atas kertas seperti diari sehingga puas. Selain itu,meluahkan perasaan di dalam laman sosial seperti facebook dan twitter sudah menjadi trend terkini. Malangnya, jika kita terlalu beremosi ketika meluahkan perasaan di dalam laman-laman sosial, takut-takut orang ramai akan memberi tanggapan yang buruk kepada kita dan segelintir orang akan terasa dengan luahan kita itu.
Segala tekanan dapat dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersenam atau beriadah dengan ahli keluarga dan sahabat handai. Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Senaman akan menambahkan kekuatan mental dan ketajaman pemikiran. Di samping itu ia juga merangsang kreativiti dan imaginasi seseorang. Mengikut satu kajian, senaman dapat mengurangkan kemurungan kerana ketika bersenam otak akan mengeluarkan bahan-bahan kimia asli seperti endorphin yang berfungsi mendatangkan ketenangan dan menghilangkan kesedihan serta kemurungan. Justeru, senaman dan rekreasi (dalam batas-batas syariat) adalah penawar yang mujarab bagi mengawal tekanan atau stress.
 Kesimpulannya, terdapat pelbagai teknik untuk kita menangani tekanan yang dihadapi di dalam kehidupan. Tiga cara utama yang telah dibincangkan di atas telah terbukti kesannya yang sangat positif. Ketiga-tiga teknik tesebut ialah beribadah dengan khusyuk, meluahkan perasaan yang terbuku di hati dan akhir sekali membuat senaman atau beriadah bersama ahli keluarga dan para sahabat.

RUJUKAN
2.      http://melayukini.net/2011/10/petua-islam-10-tips-untuk-mengurangkan-stress/
3.      http://pakarhowto.com/panduan-mengurangkan-tekanan-atau-stress.html

Post a Comment

0 Comments