Nasihat padu, puitis si bapa buat si anak daranya "Kakak Sayang...." - sayidahnapisahdotcom Nasihat padu, puitis si bapa buat si anak daranya "Kakak Sayang...."
LightBlog

Nasihat padu, puitis si bapa buat si anak daranya "Kakak Sayang...."

Nasihat padu, puitis si bapa buat si anak daranya

Nukilan: Ahmad Fedtri Yahya
nasihat padu bapa fedtri yahya buat anak daranya
nasihat padu si bapa fedtri yahya buat anak daranya
Kakak Sayang..

Nanti dewasa miliki rasa,
mahalkan cinta sebelum binasa.

Jangan merindu pada yang tak sudi,
jangan meratap pada yang dah pergi.

Jangan mengharap pada yang tak pasti,
jangan merayu pada yang dah benci.

Serasi bukan terletak di mata,
tetapi sepadan di dalam jiwa.

Jangan terkesan bandingan orang,
selami sendiri si dia tersayang.

Jika getaran telah berputik,
impian bersatu selalu berdetik.

Jangan serah segala hati,
simpan separuh sebagai sakti.

Jangan mudah termakan harapan,
simpan iman sebagai penampan.

Jika nanti rekah jalinan,
ada bekalan untuk bertahan.

Jika nanti hambar hubungan,
ada penawar meluput kenangan.

Jika nanti cintamu zulmat,
tak perlu tabur dendam kesumat.

Bangkit dan julang seribu maaf,
tadabbur makna pasrah dan khilaf.

Usah rebah sebelum nikah,
usah berlebih dalam bercanggah.

Yang terkurang disantuni cermat,
yang menawan jadikan azimat.

Usah berteman si dia yang dayus,
dilanda gelora terus menikus.

Semua insan miliki nafsu,
bijaklah mentafsir tulen dan palsu.

Pancarkan pesona pada yang halal,
tutup laluan ke jalan yang dangkal.

Tak rugi tidak dipuji,
hidup bukan mainan janji.

Jangan menangis di dalam hati,
luahkan rasa pada yang mengerti.

Andai tertutup telinga manusia,
keluh dan kesah hamparkan padaNya.

Jangan menanti terlalu lama,
tegaskan diri bak dewi kesuma.

Jangan jadi bunga murahan,
sebelum kembang ditimpa dahan.

Jangan pudar sebelum menguntum,
simpan kejutan mustika terharum.

Jangan mengorak kelopak terluka,
sucikan diri setulus cempaka.

Kalau seroja damailah di tasik,
beralun tenang air berbisik.

Kalau dipuja bagaikan mawar,
jadikan duri perisai yang tegar.

Ingat sejarah semalu di tanah,
dalam malu senjata memanah.

Namun tak perlu simalakama,
racun rahsia di hati kama.

Menjadi apa pun biarlah berpada,
walau diri di puncak persada.

Kerana dirimu tetap indah,
sutera syurga lambaian jannah.

Naiklah ke langit dengan cinta,
bukan di bumi tersilau mata.

Ada takdir kasih mulia,
berkat doa munajat padaNya.

Bidadari terhormat taman firdausi,
puncak segala nikmat abadi.

#langitsutera
#indahsuterajannah
#fedtriyahya
#menikamdenganpuitis


Perghhhh tepuk tangan semuaaaaa! FUHHHHH SUNGGUH MANTOP, PADU, POWER, DAEBAK, AMAZING, FANTASTIC, PUITIS, DEEP nasihat 'a masterpiece' Fedtri Yahya di atas.

Disebabkan ada beberapa perkataan yang saya dop pahe, saya terpaksa buka google, cari makna di sebaliknya; untuk lebih menghayati gitchuw haha. Walaupun nasihat tersebut khas buat anak daranya tapi actually nasihat tu juga ditujukan untuk kita semua yang bergelar 'anak' :)

KAMUS:

Maksud penampan = penahan, penyekat, penghalang
Maksud zulmat = gelap, sesat
Maksud mustika = permata yang berharga, yang bernilai
Maksud simalakama = serba salah dalam memilih pilihan
Maksud kama = cinta, asmara

Post a Comment

1 Comments

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p