Rumah pertama tidak semestinya besar dan mewah
Ramai orang muda hari ini terlalu cepat
mahu memiliki rumah besar, cantik dan lengkap seperti yang dilihat di media
sosial. Hakikatnya, rumah pertama lebih sesuai dijadikan permulaan untuk
membina aset dan kestabilan kewangan.
Tidak perlu terus membeli rumah mewah atau kawasan premium. Rumah yang
sederhana tetapi selesa sudah memadai untuk permulaan.
Selain itu, elakkan terlalu cepat membeli studio, SOHO atau SOVO jika memang
bercadang untuk duduk sendiri dalam jangka masa panjang. Ada unit yang
kelihatan cantik dan moden, tetapi ruang agak terhad dan kurang praktikal
apabila keluarga semakin besar nanti.
Untuk rumah pertama, lebih baik fokus kepada rumah yang praktikal seperti
apartment biasa, apartment servis yang sesuai atau rumah subsale yang masih
dalam keadaan baik.
Yang penting ialah selesa dan mampu dibayar setiap bulan.
Pilih harga rumah yang masuk akal
Salah satu kesilapan paling biasa ialah
membeli rumah terlalu mahal semata-mata mahu tinggal di kawasan popular.
Sebenarnya, masih banyak rumah bawah RM300,000 di kawasan bandar jika rajin
mencari. Kalau sanggup tinggal sedikit jauh dari bandar, rumah bawah RM200,000
pun masih ada.
Jangan terlalu malu membeli rumah kecil atau sederhana. Rumah pertama bukan
semestinya rumah terakhir. Bila kewangan semakin stabil dan pendapatan
meningkat, barulah fikir untuk upgrade ke rumah yang lebih besar.
Pastikan komitmen rumah tidak melebihi kemampuan
Antara perkara paling penting sebelum
membeli rumah ialah memastikan bayaran bulanan tidak terlalu membebankan.
Ramai pakar kewangan menyarankan supaya komitmen rumah tidak melebihi 30
peratus daripada gaji bulanan.
Contohnya, jika gaji sekitar RM4,400 sebulan, komitmen rumah yang selesa adalah
sekitar RM1,300 sebulan.
Jika terlalu banyak duit habis untuk rumah, kehidupan harian akan menjadi stres
dan penat.
Bandingkan dengan kos menyewa
Kadang-kadang menyewa lebih sesuai untuk
sementara waktu, terutama jika perbezaan kos terlalu besar.
Sebagai contoh, jika sewa rumah hanya RM1,500 tetapi bayaran rumah yang ingin
dibeli mencecah RM3,000 sebulan, fikirkan semula dengan betul-betul.
Perbezaan RM1,500 itu sebenarnya boleh digunakan untuk simpanan kecemasan,
pelaburan, modal bisnes atau simpanan masa depan.
Jangan terlalu mengejar full loan
Ramai rasa gembira apabila bank meluluskan
pinjaman penuh. Namun hakikatnya, layak mendapat pinjaman tidak bermaksud wajib
mengambil jumlah maksimum.
Apa yang penting ialah kehidupan yang stabil, masih boleh menyimpan duit dan
tidak terlalu tertekan setiap bulan.
Berhati-hati dengan tawaran cashback dan renovasi
Ada pemaju menawarkan pelbagai promosi
seperti cashback, percuma yuran guaman atau pakej renovasi.
Memang nampak menarik pada awalnya. Namun selepas beberapa bulan, mula terasa
tekanan kerana komitmen bulanan terlalu tinggi.
Renovasi boleh dibuat perlahan-lahan mengikut kemampuan.
Pilih unit yang mudah dijual semula
Jika boleh, pilih layout rumah yang
mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
Antara pilihan paling selamat ialah rumah tiga bilik dan dua bilik air kerana
lebih mudah dijual semula dan sesuai untuk kebanyakan keluarga.
Fahami jenis hartanah yang dibeli
Sebelum membeli rumah, pastikan faham jenis
hartanah yang ingin dibeli.
Contohnya service apartment yang berada di atas tanah komersial biasanya
mempunyai harga lebih tinggi, maintenance lebih mahal dan kadar utiliti yang
berbeza.
Rumah pertama ialah keperluan, bukan rumah impian
Ramai terlalu cepat mahu memiliki rumah
impian lengkap dengan dapur cantik, dekorasi mewah dan kawasan elit.
Hakikatnya, rumah impian biasanya datang selepas kewangan sudah benar-benar
stabil.
Kalau tersalah beli, jangan ego
Kadang-kadang selepas beberapa tahun, baru
sedar rumah yang dibeli sebenarnya terlalu membebankan.
Kalau keadaan sudah terlalu berat, ada masanya lebih baik menjual rumah
tersebut atau mencari cara meningkatkan pendapatan daripada terus menanggung
tekanan bertahun-tahun.
Rumah pertama bukan perlumbaan. Apa yang paling penting ialah rumah yang mampu
dibayar, tidak membebankan dan sesuai dengan keadaan kewangan semasa.
Beli rumah ikut kemampuan, bukan ikut tekanan orang sekeliling.




0 Comments
Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p