TOTAL PAGEVIEWS BLOG

Aneka Resepi Nasi SEDAP yang Famous, Kegemaran Rakyat Malaysia!

by - September 06, 2019
ANEKA RESEPI NASI PELBAGAI JENIS yang Famous di Malaysia! Mudah, Sedap, Simple dan Cepat | Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua~! Yezzahhh dah lama tak update resepi dalam blog ni. Dulu asyik asyik resipi aneka menu makanan minuman bagai. Sekarang.... krik krik krok krokkk (bunyi perut lapar hahahaha). Okay so.. NASI. Everyone's favorite i guess? Kali ni saya nak share 13 Resepi Nasi Pelbagai Jenis, Rasa dan 'Warna' yang famous amos di Negara Malaysia!

Kenapa terkenal?

Sebab nasi nasi ni selalu dimasak di pelbagai tempat dan event; antaranya - kenduri kahwin, akad nikah, majlis tunang, wedding reception, rumah terbuka raya, open house special.

Ada juga yang masak suka suka untuk makan sendiri, bersama keluarga, hidangkan kepada tetamu, saudara mara, sahabat handai, keluarga mentua dan sebagainya.

Apakah ia?

Nasi ayam, nasi tomato, nasi lemak, nasi minyak, nasi beriani, nasi daging, nasi arab, nasi hujan panas, nasi impit goreng, nasi bukhari ayam, nasi dagang, nasi kerabu, nasi minyak kampung.

Perghhh complete! Memang famous kan semua nasi ni?

Nak resipi aneka menu makanan berasaskan nasi di atas ini?

Jom!


Aneka Resepi Nasi SEDAP yang Famous, Kegemaran Rakyat Malaysia!

resepi nasi lemak
resepi nasi mudah dan sedap famous
RESEPI NASI LEMAK SAMBAL SOTONG

BAHAN-BAHAN NASI LEMAK:

4 cawan beras
4 cawan air
1 cawan santan pekat
1 batang serai besar-dititk
3 cm halia - di potong nipis
2 ulas bawang merah - dipotong kecil
10 biji lada hitam
3 helai daun pandan- disimpul & ikat
1/2 sudu kecil garam - secukup rasa

CARA MEMASAK:

Kupas semua bawang dan halia serta dipotong nipis-nipis. Basuh beras yang diletak dalam periuk nasi dan masukkan air serta santan , masukkan serai , halia , biji lada hitam , bawang merah dan daun pandan serta garam . Kacau bagi mesra semua bahan dan masak nasi seperti biasa guna periuk letrik.

BAHAN-BAHAN SAMBAL SOTONG:

1 kilo sotong
2 biji bawang besar - dipotong nipis-nipis
3 sudu besar gula - boleh ditambah atau kurang
Garam dan air asam jawa secukup rasa
Minyak masak untuk menumis

BAHAN DIKISAR HALUS:

10biji cili kering - boleh ditambah
5 bawang merah
2 ulas bawang putih
2 cm belacan - dibakar/grill

CARA MEMASAK:

1) Sotong di bersihkan dan dipotong kemudian ditos dan ketepikan dulu.

2) Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sampai naik bau , kemudian masukkan gula , asam jawa , garam dan terus kacau sambal sampai masak dan pecah minyak .

3) Masukkan sotong , bawang besar dan terus kacau lagi sehingga semua bahan menjadi mesra dan bila sudah masak boleh la tutup api . Sotong ni akan keluarkan sedikit air so tak perlu tambah air untuk kuah extra.

Sambal mesti la cukup semua rasa dan saya memang akan guna extra gula sebab nak bagi balance rasa pedas sambal.

Sotong tak perlu dimasak terlalu lama nanti akan jadi agak liat so kacau sambal sampai sotong nampak layu dan boleh la ditutup api dapur.

RESEPI NASI MINYAK
resepi nasi minyak
resepi nasi mudah dan sedap famous
Bahan-bahannya:

4 cawan beras basmathi - dicuci dan direndam selama 1/2 jam, kemudian disejatkan.
5 1/2 cawan air
1 inci halia - hiris
1 cawan susu cair
Gula, garam
2 helai daun pandan - dibelah dan disimpulkan
2 sudu makan planta
1 batang kulit kayu manis
2 bunga lawang

Bahan Tumbuk Lumat:

1 inci halia
2 biji bawang besar

Bahan Hias:

Biji Gajus
Bawang goreng
Kismis

Cara-caranya:

- Periuk nasi diletak di atas dapur gas. Cairkan planta.
- Tumis halia hiris, kulit kayu manis, bunga lawang dan daun pandan hingga wangi.
- Masukkan bahan tumbuk. Tumis hingga wangi.
- Masukkan air, susu cair, garam dan gula. Biarkan mendidih.
- Alih periuk nasi ke bekasnya. Masukkan beras dan kacau rata.
- Tudungkan periuk dan biarkan hingga nasi tanak.
- Bila butang cooking dah naik, titikkan sedikit pewarna kuning dan hijau ke aras nasi. (jika suka, tak bubuh pun takpe).
- Taburkan biji gajus dan kismis. Tudungkan periuk sebentar.
- Kacau nasi supaya gembur. Taburkan bawang goreng.
- Sedia untuk dihidangkan.

RESEPI NASI AYAM (dan sup, sos cili)
resepi nasi ayam
resepi nasi mudah dan sedap famous
Bahan-bahan membuatnya:

1 ekor ayam
2 kiub pati ayam
10 cawan air (air secukupnya..kalau suka banyak kuah tambahkan lagi)
dan sedikit garam

Rebus ayam tadi bersama-sama bahan-bahan di atas sehingga ayam empuk.. kemudian asingkan ayam tadi, toskan airnya.. so kita dah dapat air rebusan ayam. Kemudian. kita perapkan ayam pula k. kalau nak lagi sedap... perapkan semalaman.

Bahan-bahan lain:

Ayam yang telah direbus tadi
*2 batang serai
*sedikit halia
*1 biji bawang besar
*5 ulas bawang putih
(Bahan-bahan bertanda * dikisar dengan sedikit air)
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar madu
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos barbeque
2 sudu besar kicap
sedikit garam

Cara-cara membuatnya:

Gaulkan semua bahan-bahan di atas bersama-sama ayam yang telah direbus tadi...
Perapkan 3-4 jam. nak lagi sedap

Bahan-bahan membuat nasi:

4 helai daun limau purut
3 batang serai
4cm kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
*1/2 biji bawang besar
*sedikit halia
*3 ulas bawang putih
(bahan2 bertanda* ditumbuk halus)
2 kuntum bunga lawang
sedikit marjerin/ mentega
3 cawan beras (cuci bersih dan ditoskan)
4 1/2 cawan air rebusan ayam
1 paket sup bunjut adabi
sedikit garam

Cara-cara membuatnya:

1. Panaskan marjerin di dalam periuk nasi di atas dapur.
2. Tumis bahan-bahan tumbuk, serai, daun limau purut, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga garing dan naik bau.
3. Masukkan sup bunjut
4. Masukkan air rebusan ayam.
5. Masukkan beras.
6. Masukkan garam secukupnya
7. Kacau rata dan biarkan mendidih. Kalau nak nasi cantik, masukkan sedikit pewarna kuning.. Tutup api.
8. Kemudian angkat periuk tadi.. "On" kan periuk nasi dan masak seperti biasa.

Bahan-bahan membuat sup:

Beberapa ketul ayam yang dipotong kecil kecil
air rebusan ayam secukupnya
1 paket sup bunjut
1 kiub pati ayam
*sebiji bawang besar
*sedikit halia
*3 ulas bawang putih
(bahan-bahan bertanda * dihiris halus/ ditumbuk)
2 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
sedikit kulit kayu manis
sebatang carrot dihiris halus
sedikit daun sup
sedikit daun bawang
garam secukupnya

Cara-cara membuatnya:

1. Panaskan sedikit minyak sahaja. Tumiskan bahan rempah, bawang putih, bawang besar, halia dan sup bunjut sehingga garing dan naik bau.
2. Bila dah garing, masukkan ayam. biarkan ayam kecut.
3. Masukkan air rebusan ayam.
4. Masukkan kiub pati ayam.
5. Akhir sekali masukkan daun sup, daun bawang dan carrot. Biarkan mendidih dan pastikan ayam dan carrot empuk. Tutup api.

Bahan-bahan membuat sos cili:

5 tangkai cili hidup
4 ulas bawang putih
sedikit cuka
sedikit gula
sedikit garam
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar air panas

Cara-cara membuatnya:

Kisar semua bahan-bahan di atas.
Dah siap sos cili!

Kemudian goreng ayam yang kita dah perap tadi... tak payah goreng lama-lama..
Hidangkan bersama-sama salad, timun dan tomato.

Hiaskan ikut citarasa masing-masing..

RESEPI NASI TOMATO AYAM MASAK MERAH
resepi nasi tomato ayam masak merah
resepi nasi mudah dan sedap famous
BAHAN NASI TOMATO:

500gm beras
2 ulas bawang putih | dihiris
3 ulas bawang merah | dihiris
1 biji bawang besar | dihiris
125gm minyak sapi
2 kuntum bunga cengkih
2.5sm kulit kayu manis
190gm pes tomato
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk. Tumiskan bunga cengkih, kulit kayu manis dan bahan hiris sehingga kekuningan.
2. Selepas itu masukkan pes tomato. kacau sehingga pecah minyak.
3. Masukkan beras, air secukupnya dan garam secukup rasa. Kacau rata.
4. Tutup periuk dan tanak sehingga masak. Jika suka boleh letak kismis.
5. Hidangkan bersama Ayam Masak Merah.

BAHAN AYAM MASAK MERAH

1 ekor ayam - potong kecil dan dibuang kulit
20 tangkai cili kering - dikisar
7 biji bawang merah kisar
3 ulas bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit lengkuas kisar
5 batang serai kisar - ambil bahagian yang putih sahaja
1 cawan santan pekat
sos tomato secukupnya
serbuk kunyit
garam
sedikit asam jawa
gula apong

Cara-caranya:

1. Lumurkan ayam yang dipotong dengan sedikit serbuk kunyit dan garam secara merata. Panaskan minyak dan goreng hingga 3/4 masak. Ketepikan.
2. Dengan minyak lebihan goreng ayam tadi (kalau banyak sila kurangkan terlebih dahulu) tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau.
Masukkan santan dan kacau lagi.
3. Tambahkan garam, gula dan asam jawa secukup rasa dan kacau sebati.
4. Masukkan sos tomato dan kacau lagi.
5. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan gaulkan dengan bahan-bahan tumis hingga sebati.
6. Kacau sekali sekali dengan api sederhana hingga ayam dan bahan-bahan tumis tadi benar-benar mesra, bolehlah dihidang.

RESEPI NASI DAGING UTARA (dan air asam)
Oleh: nor farhanA
resepi nasi daging utara
resepi nasi mudah dan sedap famous
Hari ni masak nasi daging utara.

Suami request buat kali kedua. Sedap sangat dia kata.

Suami kata "Untungg kawen dengan orang Kedah, pandai masak".

Nak RESEPI? Meh kak fana share. Tapi sukatan takdak naa. Kita main campak campak baling masuk periuk ja hahahah.

Cara masak:
------
Daging fresh rebus dulu

Rebus sekali kulit kayu manis + bunga lawang + jintan manis + buah pelaga + sedikit garam.

Rebus sampai daging tu separuh masak. Air rebusan tu kang nak guna buat masak nasi.

Bahan nasi:
--------
2 cawan beras basmathi (beras rendam dulu sejam dengan sedikit garam bagi kembang)
3 cawan air rebusan daging (pakai cawan yang sama dengan sukatan beras.
1 cawan beras = 1 setengah cawan air).
Minyak sapi
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Lada hitam
Serai
Serbuk kari daging (tak payah banyak)
Serbuk kurma (letak lebih sikit untuk sedap)
Serbuk kas kas (sedikit sahaja)
Garam
Buah tomato
Daun ketumbar

Cara buat:
-----
Mula-mula tumbuk bawang merah + putih + halia.

Tumis bahan tumbuk tadi dengan minyak sapi dalam periuk sampai agak garing.

Masuk rempah kurma + sedikit rempah kari daging + serai + lada hitam yang ditumbuk + garam + serbuk kas kas + sedikit air. Tumis sampai pecah minyak

Masuk 3 cawan air rebusan daging.

Kemudian masuk beras yang direndam tadi. Tos dulu buang air. Kacau-kacau sikit beras tu dalam periuk.

Bila nasi dah agak masak. Masuk daging yang direbus yang dah empuk dan daun ketumbar dalam periuk. Kacau-kacau biar masak bersama nasi. Tutup api. Siap !!

Bahan untuk air asam:
-----
Cili padi
Asam jawa
Garam
Belacan
Kerisik
Buah tomato
Bawang kecil

Cara buat:
---
Tumbuk cili padi + garam + belacan smpai agak lumat.

Kemudian masukkan dalam mangkuk. Perah air asam jawa pekat-pekat. Gaulkan dengan cili tumbuk tadi. Potong bawang dan tomato nipis-nipis. Boh sekali dalam bahan cili. Last sekali boh kerisik sikit. Yummmm sedap.

Makan panas-panas sedap gila baq hang !! Laki panggil pun tak perasan dah hahahh.

Hangpa nak share silakan. Kak fana halalkan ilmu.

Ikut betoi2 tau. Kalau tak jadi jangan mai serang cheq pulak. Cheq bagi resepi betoi dah.

Selamat mencuba !

RESEPI NASI HUJAN PANAS
Oleh: muhammad azhari
resepi nasi hujan panas
resepi nasi mudah dan sedap famous
Kita buat nasi hujan panas hari ni.. tapi taktau la kenapa namanya macam tu.. terpikir apa yang panas, apa yang hujannya.

Resepi kat bawah ye..

Bahan-Bahan:

3 cawan beras basmati (cuci bersih dan toskan) (saya tak rendam beras dulu ye)
3 cawan air
1 cawan susu cair
4 ulas bawang merah (kisar)
2 ulas bawang putih (kisar)
1cm halia (kisar)
Rempah 4 sekawan (bawang lawang, cengkih, pelaga, kulit kayu manis)
Minyak/ Mentega
Pewarna merah, hijau dan kuning
Garam dan serbuk perasa
Hirisan daun bawang & bawang goreng.

Cara-cara:-

1. Panaskan minyak, tumis 4 sekawan dan juga bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan mentega..
2. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa. Masukkan air (ikut sukatan beras, kalau 3 cawan beras, 3 cawan air).
3. Masukkan beras dan susu cair dan gaul sebati. Biarkan nasi masak macam biasa dalam rice cooker.
4. Bila nasi dah kering, titiskan pewarna merah, kuning dan hijau (ikot citarasa masing-masing)
5. Tutup semula periuk dan tunggu smpai nasi masak.
6. Bila nasi dah masak, gembur-gembur kan dan tabur la daun bawang/ daun sup dan bawang goreng..

p/s: daun padan tu sepatutnya tumis sekali tapi disebabkan terlupa, simpul buat hiasan ajela.

RESEPI NASI MINYAK KAMPUNG
Oleh: Mazliza Ahmad
resepi nasi minyak kampung
resepi nasi mudah dan sedap famous
Arini akak masak nasi minyak kampung yang sangat bermakna bagi akak untuk anak bujang akak sebagai hadiah untuk pencapaian 9A dia dalam pt3.. nasi ni..memang pebret dia dari kecik lawan pulak dengan ayam masak merah..

Bergenang airmata akak bila akak tanya apa hadiah yang dia nak n dia jawab nak makan nasi minyak mama.. betapa air tangan seorang ibu itu membawa erti yang cukup besar bagi seorang anak.. pengikat kasih sayang hingga ke akhir hayat..

Alhmdulillah untuk kasih sayang yang indah ini.

Akak share resepi pada yang nak cuba ya.. simple je tapi anak-anak akak memang suka..

Bahan:

3 pot beras basmathi (akak guna jasmin basmathi pusa gold)
5 pot air (1 pot diguna untuk blend dengan bawang goreng)
2 sudu mkn planta (nak guna minyak sapi pun boleh)
Kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
Rempah sup bunjut adabi-1
1 genggam bawang goreng (mesin dengan air)
1 sudu mkn kismis
Garam n perasa
*1 biji bawang besar
*3 ulas bawang putih
*1/2 inci halia

Cara:

Blend bahan bertanda *
Panaskn rice cooker.. masukkan planta
Tumis rempah 3 serangkai
Masukkan bahan blend.. masukkan rempah sup bunjut
Masukkan kismis, garam dan perasa
Masukkan bawang goreng yang dah di blend dengan 1 pot air
Masukkan beras
Akhir skali masukkan lagi 4 pot air..
Tutup periuk dan biar hingga masak..
Bila dah masak.. kaiskan dengan garfu (untuk elakkan nasi jadi patah-patah)

RESEPI NASI BERIANI LAUK AYAM (dan acar mentah)
resepi nasi beriani
resepi nasi mudah dan sedap famous
Bahan Nasi Beriani:

4 cawan beras basmati - dicuci bersih, ditoskan (sebaiknya guna beras basmati Faiza)
1/4 cawan susu cair
6 cawan air biasa
1 biji bawang besar dikisar
3 ulas bawang putih dikisar
1/2 inci halia tua dikisar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
2 sudu besar minyak sapi
(lebih kurang) 3 sudu besar minyak masak
1 pokok daun saderi - patah-patahkan
1 pokok daun bawang - patah-patahkan
1 tangkai daun pudina - patah-patahkan
1/4 cawan kismis - goreng dan toskan minyaknya
1/4 cawan gajus - goreng dan toskan minyaknya
segenggam bawang goreng
beberapa titik pewarna kuning

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak. Tumiskan bahan-bahan kisar dan rempah tumis hingga naik bau.
2. Masukkan susu cair, air dan beras. Tambahkan sedikit garam. Kacau sebati.
3. Bila sudah mendidih kacau lagi dan tutup periuk.
4. Bila air nasi sudah kering buatkan lubang-lubang menggunakan chopstick dan titiskan beberapa titik pewarna kuning. Taburkan atasnya dengan gajus dan kismis yang digoreng tadi bersama daun saderi, daun bawang, bawang goreng dan daun pudina. Tutup periuk.
5. Agak-agak nasi hampir tanak, buka tudung periuk dan gaul sebati dengan bahan-bahan tadi.
6. Masak nasi hingga tanak dan sebelum dihidang buanglah segala macam dedaun tadi.

Bahan ayam masak beriani:

>< 1 kg ayam - potong ikut suka
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa
1 biji bawang besar dadu kecil
3 ulas bawang putih tumbuk lumat
1/2 inci halia muda tumbuk lumat
1 paket kecil rempah beriyani faiza
2 biji tomato dadu kecil
2 biji kentang potong 8
1 batang lobak merah potong ikut suka
rempah tumis 4 sekawan
1 pokok daun pudina - ambil daunnya
1/4 cawan yougart
air secukupnya
1 kiub ayam
garam secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak. Lumurkan ayam dengan garam dan kunyit serbuk. Goreng separuh masak, ketepikan.
2. Dengan lebihan minyak tadi tumiskan rempah tumis, bawang besar, bawang putih dan halia hingga naik bau.
3. Masukkan tomato dan kacau sebati. Masak lagi.
4. Masukkan rempah beriyani dan kacau sebati. Bila naik bau masukkan yougart dan air.
5. Masukkan juga lobak dan kentang.
6. Bila lobak dan kentang mulai empuk masukkan kiub ayam dan ayam yang sudah digoreng tadi, kacau sebati. Tutup kuali dan perlahankan api supaya ayam dan lainnya masak dengan mesra.
7. Masukkan daun pudina, kacau lagi dan rasakan masinnya.
8. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

Bahan acar mentah:
1/2 biji nenas - buang empulur, potong kecil
1 biji timun - buang empulur potong panjang
1 biji lobak merah - potong panjang halus
1 biji bawang merah - belah 4 dan hiris
2 batang lada merah - hiris
3 sb cuka - saya guna cuka kurma
garam
gula
sedikit air panas

Cara-caranya:

1. Masukkan lada merah dan bawang besar dalam mangkuk. Tambahkan garam, cuka kurma, garam dan gula. Masukkan juga air panas. Kacau sebati.
2. Masukkan nenas, timun dan lobak merah dan gaul merata dengan bahan-bahan tadi.
3. Rehatkan dahulu sebelum dihidang.

RESEPI NASI IMPIT GORENG
resepi nasi impit goreng
resepi nasi mudah dan sedap famous
Bahan-bahan:

1 mangkuk nasi impit yang telah dipotong dadu
5 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 genggam bilis*
1 genggam udang kering
2 biji telur
2 ketul hot dog potong nipis
1 biji bawang besar dipotong kecil
sedikit kicap
sedikit sos tiram

Cara-cara:
tumbuk bahan yang bertanda (*)..
panaskan minyak.. goreng udang kering dan hot dog..
masukkan bahan yang telah ditumbuk.. tumiskan hingga kekuningan
kemudian masukkan telur.. bila telur telah masak.. masukkan pula kicap dan sos tiram dan bawang besar..
kalau perlu tambah sedikit air..
garam dan aji secukup rasa..
akhir sekali masukkan nasi impit.. goreng hingga nasi impit menjadi panas supaya tidak cepat basi..

Selamat mencuba.

RESEPI NASI BUKHARI AYAM
resepi nasi bukhari
resepi nasi mudah dan sedap famous
Bahan-bahan:

1 ekor ayam, bersihkan ketulan ayam dan peramkan dengan 1/2 kecil sudu kecil (tsp - teaspoon) garam, 1/2 sudu kecil (tsp) serbuk kunyit dan secubit lada hitam selama 30 minit - 1 jam.

Cara:

Panaskan kuali leper (pan) dan masukkan 3 sudu besar minyak masak.

Masukkan ketulan ayam telah diperam dan goreng dengan minyak sedikit sehingga ketulan ayam bertukar ke warna kuning keemasan (Ia sebenarnya “grill” ayam).

Semasa gorengan anda mungkin rasa kesulitan pada permukaan ketulan ayam melekat pada permukaan kuali, untuk menhindarkan ini, guna kuali tidak melekat (Non-Stickable Pan).

Jika anda tidak punyai kuali jenis ini dan untuk goreng dalam kuali biasa, lumurkan sedikit minyak pada ketulan ayam yang ingin digoreng sebelum lepaskan dalam kuali.

Tujuan goreng ini cuma untuk menguatkan permukaan luar isi ayam supaya ia tidak mudah hancur bila masak dengan nasi.

Jangan goreng sampai masak ketulan ayam ini, sekadar 1/4 masak sudah cukup. Sekiranya masak penuh jus ayam ini akan kering dan untuk rasa kesedapan nasi kelak. 

Angkat dan asingkan ketulan ayam yang telah digoreng.

Bahan-bahan untuk menumis ayam:

1 sudu kecil (tsp) biji ketumbar.
1 sudu kecil (tsp) biji jintan putih.
1 keping 2″ kayu manis.
6 biji buah pelaga.
6 kuntum bunga cengkih.
1/4 sudu kecil lada hitam.
* 1/2 sudu kecil serbuk kunyit.
Sangai semua bahan-bahan tersebut kecuali serbuk kunyit dan kisar halus untuk dijadikan rempah
2 biji bawang labu sederhana besar di hiris halus.
1 sudu besar pes halia bawang putih.
2 helai daun shaiba.
2 batang karot dihiris.
2 batang carrot disagat.
6 biji tomato cherry dibelah dua.
pes tomato puri
2 helai daun beriani/salam.
1/2 sudu kecil teh (tsp) garam atau cukup rasa.
1/2 sudu kecil (tsp) garam masala.
1 sudu kecil (tsp) serbuk cili.
1 sudu besar stok ayam (maggi)

Cara:

Gunakan minyak yang sama goreng ayam dan ditambah 1 sudu minyak sapi (itu pun kalau suka) dipanaskan kembali, masukkan hirisan bawang, goreng hingga layu (jangan sampai garing), masukan lobak hingga layu.

Masukkan semua rempah dan garam. Kemudian masukan pes halia bawang putih. Goreng sehingga bau haruman rempah dikeluarkan. Masukkan ketulan ayam tadi. Tutup periok anda dan perlahan api untuk ayam separuh masak.

Bila ketulan ayam masak 1/2 , masukkan puree tomato, dan susu cair. Tambahkan kiub ayam, perlahankan api dapur. Biarkan kuah nya menjadi pekat (pes). Keluarkan ketulan ayam saja. Biarkan kuahnya.

Masukan air (air untuk masak beras basmathi ialah nisbahnya 1:1 bermakna masukan beras dalam bekas dan ratakan paras dan tandakan paras beras. Sukatan air adalah sama dengan paras beras. Jangan lupa sukatan ini walau pun anda masak jumlah yang besar. Ini formulanya.

Biarkan air mendidih dan masukkan beras yang ditapis kering. Untuk sedap lagi anda boleh masukkan 1-2 kiub ayam dan sedikit gula kedalam kuahnya. Rasa airnya untuk kemasinan yang sesuai biasanya 1/2 sudu kecil garam sudah memadai untuk resepi ini.

Penyediaan Nasi:

kg basmathi di basuh dan direndam selama 1/2 jam (mamak haji suka rendam dalam bekas air panas selama 3-4 minit, kacau rata dan terus toskan air untuk mempercepatkan lagi proses rendaman ini, cara ini lebih baik dari rendam beras).

Tentang basmathi ini ramai pengunjung blog bertanyakan jenama terbaik. Kualiti beras basmathi terletak pada size panjang atau pendek. Kalau panjang harga pun lebih panjang dan tinggi. Maka terpulanglah pada anda untuk memilihnya.

Masukan beras bila air mula mendidih. Bila nasi mula masak kacau perlahan-lahan (jangan sampai butir nasi pecah).

Bila nasi mula sejat kecilkan api dapur ke minima supaya nasi tidak hangus. Titiskan pewarna oren merah di tiga atau empat tempat dimana gelembung udara dibebaskan. Ini bertujuan warna ini ke dasar nasi. Cara warna ini untuk ada butir-butir nasi berwarna oren dan mencantikan hidangan. Ia juga mengelakan keseluruhan nasi bertukar warna dari warna asli masakan.

Segera tutup tudung periok dan tentukan tiada wap terkeluar dengan menggunakan gam tepung gandum atau lilit kain di sekeliling periuk (seperti menyediakan nasi beriani gam Johor).

Setelah masak terbalikan nasi supaya bahagian nasi yang belum masak akan ke bawah dan bahagian bawah nasi naik keatas dengan menggunakan sudip. Ratakan kembali nasi dan taburkan buah kismis dan buah badam yang telah goreng tadi ke atas permukaan nasi.

Bila nasi telah siap anda boleh hidangkan dengan ketulan ayam sekali. Selamat mencuba.

Nota: anda bolehlah ubah cara masak dengan terus gunakan rempah kurma atau pun dengan rempah sup atau kari. Kalau mengikut resepi asal tomato segar di kisar dan guna yogurt. Rempah di atas sebenarnya rempah kurma yang sedia dijual.

RESEPI NASI DAGANG (dan kari ikan tongkol)
resepi nasi dagang
resepi nasi mudah dan sedap famous
Bahan-bahan:

1 kilo beras (direndam, dicuci dan ditoskan)
3 cawan santan cair
2 sudu teh halba
1 inci halia (dihiris nipis)
10 ulas bawang merah (dihiris nipis)
2 sdt (sudu teh) gula
1 sdt garam

Caranya:

1. Masukkan beras yang dicuci bersih ke dalam pengukus yang telah dipanaskan. Kukus
beras tersebut selama 30 minit.
2. Pindahkan ke dalam mangkuk besar, masukkan santan dan gaulkan ia. Kemudian dikukus lagi selama 30 minit.
3. Pindahkan lagi ke dalam mangkuk dan tambah halba, halia, bawang, gula serta garam. Teruskan lagi mengukus selama 20 minit.
4. Bila dah masak barulah di angkat untuk dihidangkan.

Kari ikan tongkol:

4 sudu minyak masak
3 cawan santan
2 keping asam gelugur
350 gm ikan tongkol (dipotong menjadi keping)
1 tangkai cili hijau (dibelah dua)
1 tangkai cili merah (dibelah dua)
garam secukup rasa
gula secukup rasa

Pes rempah:

10 ulas bawang merah
1 inci kunyit
1 inci lengkuas
3 sudu besar cili kisar

Caranya:

1. Kisar bahan-bahan pes rempah hingga halus.
2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan bahan rempah hingga wangi. Tambah santan serta asam gelugur dan renehkan sebentar.
3. Masukkan ikan. Biarkan sekejap dan perasakan garam serta gula. Tambah cili dan renehkan selama 5 minit atau sehingga masak.

Acar timun:

100 gm timun
100 gm lobak merah
100 gm cili merah dan cili hijau
50 gm bawang besar
60 ml cuka
gula secukup rasa
garam secukup rasa

Caranya:

1. Timun dipotong 2 inci dan buang biji di tengahnya. Mayang halus seperti batang mancis.
2. Lobak merah, cili merah serta cili hijau dihiris seperti timun juga.
3. Bawang besar dibelah 2 dan dihiris halus.
4. Rendamkan bahan hirisan tersebut ke dalam air kapur selama 30 minit. Kemudian cuci bersih dan toskan. Biarkan sehingga ia kering.
5. Gaulkan, gula, garam dan cuka hingga sebati.
6. Kemudian hidangkan bersama nasi.

RESEPI NASI KERABU
Oleh: afifi pauzi
resepi nasi kerabu
resepi nasi mudah dan sedap famous
Nasi Kerabu Nenek..

Untuk nasi:
- 1 kg beras dan air secukupnya
- bunga telang blend dengan sdikit air kemudian tapis @ boleh je guna pewarna biru
- masak nasi seperti biasa

Untuk tumis budu:
- 4 ulas bawang putih, 6 ulas bawang merah, 1 labu bawang besar, 1 inci halia, 2-4 batang serai dan cili kering (blend semua bahan)
- 1 cawan santan pekat
- 1 botol kecil budu
- 1 keping manisan
- 2 keping asam keping
** tumis bahan blend sampai masak, masuk budu dulu baru masukkan santan, manisan dan asam keping.. masukkan garam, 1 sudu gula dan ajinomoto, kacau smpai dia pekat..

Sambal ikan:
- 1/2 kg ikan, rebus terlebih dahulu, sejukkan kmdian buang tulang
- msukkan ikan tadi dalam kuali tanpa minyak, kemudian masukkan serai yang dihiris halus dan sedikit gula. Kacau sampai betul-betul kering..

Untuk ulam:
Bunga kantan, kobis, daun samak, daun kesum
(boleh je letak ulam apa yang uolls suka)

Pelengkap nasi kerabu:
Ayam bakar/ goreng, keropok, solok lada, telur masin dan sambal....
Yummy!

Selamat mencuba!

RESEPI NASI ARAB SIMPLE
Oleh: wan muhammad hafiz satar
resepi nasi arab
resepi nasi mudah dan sedap famous
Petang ni masak nasi arab versi simple.

Kebetulan rumah Mak Mertua byk lagi rempah dan bahan masak tak terusik lepas wife kemas dapur dia pagi tadi.. so bahan-bahan tu saya kidnap bawa balik rumah hehehehe.. jadi petang ni saya masak nasi arab lah.

Nasi arab ni saya buat versi ikut suka hati je dan kalau nak resepi saya dah tulis siap-siap kat bawah.

Bahan-Bahan untuk Ayam dan Nasi:

1 kg beras basmati (basuh dan toskan)
1.5 liter air (untuk air rebusan ayam)
2 ekor ayam (potong 4)
3 sudu besar minyak
5 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih (bancuh dengan sedikit air)
*kalau takde serbuk jintan boleh gantikan dengan serbuk rempah sup adabi)
pewarna kuning
Bawang goreng
Garam dan gula secukup rasa
2 labu bawang besar saiz kecil (potong bulat)
1 biji tomato saiz kecil yang masak (potong dadu)

Bahan-Bahan Tumis:

5 ulas bawang merah (kisar/mayam)
3 ulas bawang putih (dimayang)
3 cm halia
2 inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
*tumis semua bahan² sampai garing.

Bahan-Bahan untuk Sos/sambal:

Buah tomato masak
Cili merah
Bawah putih
air
garam
gula
*kisar semua

Cara-Cara untuk Menyediakan Air Rebusan Ayam:

1) Sediakan air dalam periuk dan direbus terlebih dahulu sampai memdidih pastu boleh masuk ayam. Sukatan air bergantung kepada jenis beras yang digunakan sebab nanti air ni akan digunakan utk masak nasi.
 
2) letak bawang besar dan buah tomato ke dalam periuk ayam.

3) Masukkan bahan-bahan tumisan & serbuk jintan ke dalam periuk ayam juga. perasakan dgn garam dan gula.

4) Kacau sedikit rempah yang telah dicampurkan dalam air rebusan. Tutup periuk dengan tudung. Rebuskan ayam tersebut dalam ½ jam dengan api yg sederhana.

5) Selepas ½ jam, keluarkan ayam tesebut dari periuk dan susun ayam dalam bekas. Ketepikan dahulu.

Cara-Cara untuk Menyediakan Nasi:

6) Cucikan beras sampai bersih.

7) Masukkan beras dalam periuk air rebusan ayam tersebut dan masak seperti nasi biasa.

8) Taburkan bawang goreng, kalau ada kacang peas dan kismis bleh letak semasa nasi masak... lagi sedap.

9) Masukkan sedikit pewarna kuning dan kacau dengan rata sekejap. Biarkan mendidih.

10) Tutupkan periuk dengan tudung dan perlahankan api. Nasi dimasak dengan api yang sederhana sahaja sampai hampir masak.

11) Kacau sekali lagi nasi semasa nasi hampir kering.

12) Bila nasi agak kering gemburkan nasi dan boleh dihidangkan dengan acar sayur, sos dan ayam.

Cara-Cara untuk Memasak Ayam

Lumurkan ayam dengan sedikit garam yang telah bercampur dengan pewarna kuning. Lumurkan keseluruhanya dan juga bahagian bawah ayam. Bakar sekejap dalam oven atau pan untuk dptkan texture luar yg garing sket sbb ayam dah sedia masak masa merebus.


DISCLAIMER: Segala resipi dan gambar di atas adalah bukan hak milik saya. Credit to the owner.

Selamat mencuba!

Till next time, daa~ wassalam! :)


BACA JUGA:

You May Also Like

4 comments

  1. Perghhh nengok semua sedap dan senang nak masak, rajin tak rajin aje hehehehe...

    ReplyDelete
  2. Nasi dagingggggg.. baru je makan raya hji hritu. Still nak lagii. Sedapnyaaa. nasik kerabu pun yumsssss sedappppp.. eh 1st time tgok nasik impit goreng

    ReplyDelete
  3. banyaknya resepi. nasih bukhari tu sedapnya weh

    ReplyDelete

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p