TOTAL PAGEVIEWS BLOG

Isu Video Azmin Ali dan Haziq Aziz.. Mufti Wilayah beri komen & teguran berhikmah..

by - June 16, 2019
Isu Video Azmin Ali dan Haziq Aziz | Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua~! Beberapa hari yang lepas kecoh tentang viral isu video Azmin Ali dan Haziq Aziz. Tersebar sehingga masuk berita dan other social media. Panas panas! The latest.. Haziq Aziz telah release video ke-2 (out of 4) dan claim lelaki di dalam video itu adalah dia dan seorang Menteri Kabinet. Kebenarannya? Wallahualam~ Saya pun malas nak komen lebih lebih sebab tak tahu betul ke tidak, fitnah atau benar 'skandal' tersebut.

Pada 13 Jun 2019 yang lepas, seorang ulama' Malaysia yang dihormati dan disegani; Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri telah membuat satu post di Facebook dan Twitter berkaitan dengan video intim Azmin Ali dan Haziq Aziz.


Komen Mufti Wilayah Persekutuan tentang Isu Video Azmin Ali dan Haziq Aziz

video azmin ali dan haziq aziz
Mufti Wilayah membuka 'mulut' tentang isu video azmin ali dan haziq aziz
Angin politik Malaysia kembali bertiup kencang dengan timbulnya isu video yang mengaitkan seorang lelaki dengan seseorang yang didakwa sebagai menteri kabinet. Seawal tersebarnya video tersebut, hati ini amat gusar kerana terfikirkan 1001 masalah yang bakal mendatang kepada umat ini dek sebaran video berkenaan.

Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan 4 buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi.

Memetik kata YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dato' Seri Mujahid Yusuf Rawa, "Apa yang lebih membimbangkan ialah masyarakat kita kini langsung tidak mempunyai rasa malu apabila secara terbuka dan terang-terangan membuat pengakuan melakukan maksiat. Tindakan seperti ini bukan sahaja memalukan tetapi menjejaskan kesucian Islam."

Saya mencadangkan agar kita semua sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan kita pasti akan diperhitungkan satu persatu oleh Allah SWT. Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan dan mencari keredhaan Allah SWT selepas kita disucikan dengan ibadat puasa, zakat fitrah dan qiam pada Ramadhan yang lalu.

Kepada YB Dato' Seri Azmin Ali, Haziq Abdul Aziz, sesiapa sahaja yang berkaitan dan seluruh umat Islam di Malaysia, terimalah buah fikiran daripada saya, Zulkifli Mohamad al-Bakri, hamba-Nya yang Maha Mengetahui (al-'Alim), Maha Melihat (al-Basir), Maha Mendengar (al-Sami') dan Maha Adil (al-Adl).

Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Qur'an dan al-Sunnah berhubung isu ini.

1. Peristiwa al-Ifki (Fitnah Terhadap A’isyah RA): Pengajaran dan Petunjuk dalam Menghadapi Fitnah Semasa
fitnah video azmin ali dan haziq
Peristiwa al-Ifki (fitnah terhadap Aisyah R.A.) - Mufti WP
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Akhir zaman menyaksikan begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa. Ada pihak yang tuduh menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tiada pucuk pangkalnya. Nabi SAW pernah memberikan amaran kepada sesiapa yang suka bercakap tentang perkara yang tidak diketahui kebenarannya. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda :

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق

Maksudnya : "Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.”

Riwayat Al-Bukhari (6477)

Di dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ

Maksudnya : "Seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Manakala seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang dimurkai Allah yang dia sendiri tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya dan tidak dipastikan kebenarannya) maka dia akan terjatuh ke dalam neraka Jahannam.”

Riwayat Al-Bukhari (6478)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan Ibnu Battal ketika mensyarahkan hadis ini.Ibnu Battal menyatakan hadis ini memberikan isyarat bahawa di antara ujian yang paling besar ke atas manusia adalah lidah dan kemaluannya. Sesiapa yang menjaga dari dua perkara tersebut maka dia telah menjaga dirinya daripada ditimpa kejahatan yang paling besar. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 11/308)

Oleh itu, amat penting untuk mendepani fitnah-fitnah yang berlaku sesuai dengan cara yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi SAW. Ini supaya fitnah-fitnah tersebut dapat dihadapi dengan penuh tertib, berhati-hati serta tidak melampaui batas sehingga tidak membelakangi panduan yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Justeru itu, Bayan Linnas pada kali ini akan mengupas tentang satu peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Nabi SAW iaitu peristiwa Al-Ifki (tuduhan dusta terhadap Aisyah). Kita dapat melihat bagaimana Nabi SAW menguruskan dan mendepani konflik fitnah yang berlaku pada ketika itu. Semoga Bayan Linnas pada kali ini mampu memberikan pencerahan kepada umat Islam keseluruhannya seterusnya menjadikannya pedoman dalam menghadapi tribulasi dan mehnah kehidupan.

Latar belakang peristiwa al-ifki.

Dari segi bahasa, Al-Ifki merupakan perkataan bahasa arab yang berasal dari perkataan أَفِكَ. Ianya mempunyai beberapa makna. Di antaranya adalah apa yang disebutkan oleh Al-Raghib Al-Asfahani[1]. Beliau menyebut perkataan أَفِكَ bermaksud memalingkan iktikad yang betul kepada iktikad yang batil. Dipalingkan daripada bercakap benar kepada bercakap bohong.Ia juga membawa makna dipalingkan daripada perbuatan yang baik kepada perbuatan yang keji. Penggunaan perkataan أَفِكَ dengan makna yang disebutkan oleh Al-Raghib Al-Asfahani banyak digunakan di dalam Al-Quran. Di antaranya adalah di dalam Surah Al-Zariyat ayat 9. Firman Allah :

يُؤْفَكُ عَنْهُ مَنْ أُفِكَ

Maksudnya :”Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).

Begitu juga firman Allah di dalam Surah Al-Ahqaf ayat 22 :

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِتَأْفِكَنَا عَنْ ءَالِهَتِنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Maksudnya :”Mereka menjawab: "Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Jathiyah ayat 7 :

وَيْلٌ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ

Maksudnya :” Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa.”

Perkataan ini juga digunakan untuk menyifatkan berita yang dibawa oleh kaum munafik ketika mana mereka menyebarkan fitnah tentang Aisyah. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Nur ayat 11 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ

Maksudnya :” Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu.”

Secara ringkasnya perkataan الإِفْك membawa maksud dusta, bohong, sifat yang keji dan memalingkan orang ramai dari kebenaran kepada penipuan nista.

Peristiwa Al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah R.Anha melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A. Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak mengeluarkan apa-apa pendirian dan ada juga yang mempercayai bahawa Aisyah R.Anha benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol.

Di antara sahabat yang mempercayai berita ini dan terlibat dalam penyebaran ialah Mistoh Bin Uthathah,Hammanah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: ” Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

Aisyah menceritakan secara terperinci peristiwa yang berlaku

Sedia maklum bahawa ayat ke 11 daripada Surah al-Nur diturunkan untuk membebaskan Aisyah R.Anha daripada tuduhan keji dan jahat kaum munafik. Peristiwa ini telah pun diceritakan oleh Aisyah R.Anha sendiri secara terperinci dan panjang.Kisah ini terlalu masyhur dan ianya diceritakan di dalam kebanyakan kitab hadis yang muktabar.

Antaranya Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Al-Nasaie, Al-Sunan Al-Kubra oleh Imam Al-Baihaqi dan lain-lain lagi. Pada asasnya kisah ini diriwayatkan oleh empat orang daripada Aisyah R.Anha. Mereka ialah Ubaidullah Bin Abdullah Bin Utbah Bin Mas’ud, Urwah Bin Zubair, Sa’id Bin Musayyib dan Alqamah Bin Waqqas. Walaupun mereka meriwayatkan daripada Aisyah R.Anha dengan lafaz yang berbeza namun ianya mengandungi makna yang sama.

Di antara yang masyhur adalah lafaz yang dinukilkan oleh Imam Al-Bukhari dengan sanadnya sendiri di dalam kitab sahihnya. Imam Al-Bukhari[2] menyebut :

Abu Rabi’ Sulaiman Bin Daud menceritakan kepada kami : Sebahagian cerita ini dijelaskan lagi oleh Ahmad : Fulaih Bin Sulaiman menceritakan kepada kami daripada Ibnu Syihab Al-Zuhri daripada Urwah Bin Zubair,Sa’id Bin Musayyib, Ubaidullah Bin Abdullah Bin Utbah dan Alqamah Bin Waqqas Al-Laithi daripada Aisyah R.Anha yang merupakan isteri kepada Baginda Nabi SAW ketika mana beliau ditanya oleh orang ramai tentang apa yang diperkatakan pada ketika yang mana kemudiannya Aisyah R.Anha dibebaskan daripada tuduhan tersebut. Kata Aisyah R.Anha :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَخْرُجَ سَفَرًا أَقْرَعَ بَيْنَ أَزْوَاجِهِ فَأَيَّتُهُنَّ خَرَجَ سَهْمُهَا خَرَجَ بِهَا مَعَهُ فَأَقْرَعَ بَيْنَنَا فِي غَزَاةٍ غَزَاهَا فَخَرَجَ سَهْمِي فَخَرَجْتُ مَعَهُ بَعْدَ مَا أُنْزِلَ الْحِجَابُ فَأَنَا أُحْمَلُ فِي هَوْدَجٍ وَأُنْزَلُ فِيهِ فَسِرْنَا حَتَّى إِذَا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَزْوَتِهِ تِلْكَ وَقَفَلَ وَدَنَوْنَا مِنْ الْمَدِينَةِ آذَنَ لَيْلَةً بِالرَّحِيلِ فَقُمْتُ حِينَ آذَنُوا بِالرَّحِيلِ فَمَشَيْتُ حَتَّى جَاوَزْتُ الْجَيْشَ فَلَمَّا قَضَيْتُ شَأْنِي أَقْبَلْتُ إِلَى الرَّحْلِ فَلَمَسْتُ صَدْرِي فَإِذَا عِقْدٌ لِي مِنْ جَزْعِ أَظْفَارٍ قَدْ انْقَطَعَ فَرَجَعْتُ فَالْتَمَسْتُ عِقْدِي فَحَبَسَنِي ابْتِغَاؤُهُ فَأَقْبَلَ الَّذِينَ يَرْحَلُونَ لِي فَاحْتَمَلُوا هَوْدَجِي فَرَحَلُوهُ عَلَى بَعِيرِي الَّذِي كُنْتُ أَرْكَبُ وَهُمْ يَحْسِبُونَ أَنِّي فِيهِ وَكَانَ النِّسَاءُ إِذْ ذَاكَ خِفَافًا لَمْ يَثْقُلْنَ وَلَمْ يَغْشَهُنَّ اللَّحْمُ وَإِنَّمَا يَأْكُلْنَ الْعُلْقَةَ مِنْ الطَّعَامِ فَلَمْ يَسْتَنْكِرْ الْقَوْمُ حِينَ رَفَعُوهُ ثِقَلَ الْهَوْدَجِ فَاحْتَمَلُوهُ وَكُنْتُ جَارِيَةً حَدِيثَةَ السِّنِّ فَبَعَثُوا الْجَمَلَ وَسَارُوا فَوَجَدْتُ عِقْدِي بَعْدَ مَا اسْتَمَرَّ الْجَيْشُ فَجِئْتُ مَنْزِلَهُمْ وَلَيْسَ فِيهِ أَحَدٌ فَأَمَمْتُ مَنْزِلِي الَّذِي كُنْتُ بِهِ فَظَنَنْتُ أَنَّهُمْ سَيَفْقِدُونَنِي فَيَرْجِعُونَ إِلَيَّ فَبَيْنَا أَنَا جَالِسَةٌ غَلَبَتْنِي عَيْنَايَ فَنِمْتُ وَكَانَ صَفْوَانُ بْنُ الْمُعَطَّلِ السُّلَمِيُّ ثُمَّ الذَّكْوَانِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْجَيْشِ فَأَصْبَحَ عِنْدَ مَنْزِلِي فَرَأَى سَوَادَ إِنْسَانٍ نَائِمٍ فَأَتَانِي وَكَانَ يَرَانِي قَبْلَ الْحِجَابِ فَاسْتَيْقَظْتُ بِاسْتِرْجَاعِهِ حِينَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ فَوَطِئَ يَدَهَا فَرَكِبْتُهَا فَانْطَلَقَ يَقُودُ بِي الرَّاحِلَةَ حَتَّى أَتَيْنَا الْجَيْشَ بَعْدَ مَا نَزَلُوا مُعَرِّسِينَ فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ فَهَلَكَ مَنْ هَلَكَ وَكَانَ الَّذِي تَوَلَّى الْإِفْكَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ ابْنُ سَلُولَ فَقَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَاشْتَكَيْتُ بِهَا شَهْرًا وَالنَّاسُ يُفِيضُونَ مِنْ قَوْلِ أَصْحَابِ الْإِفْكِ وَيَرِيبُنِي فِي وَجَعِي أَنِّي لَا أَرَى مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللُّطْفَ الَّذِي كُنْتُ أَرَى مِنْهُ حِينَ أَمْرَضُ إِنَّمَا يَدْخُلُ فَيُسَلِّمُ ثُمَّ يَقُولُ كَيْفَ تِيكُمْ لَا أَشْعُرُ بِشَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ حَتَّى نَقَهْتُ فَخَرَجْتُ أَنَا وَأُمُّ مِسْطَحٍ قِبَلَ الْمَنَاصِعِ مُتَبَرَّزُنَا لَا نَخْرُجُ إِلَّا لَيْلًا إِلَى لَيْلٍ وَذَلِكَ قَبْلَ أَنْ نَتَّخِذَ الْكُنُفَ قَرِيبًا مِنْ بُيُوتِنَا وَأَمْرُنَا أَمْرُ الْعَرَبِ الْأُوَلِ فِي الْبَرِّيَّةِ أَوْ فِي التَّنَزُّهِ فَأَقْبَلْتُ أَنَا وَأُمُّ مِسْطَحٍ بِنْتُ أَبِي رُهْمٍ نَمْشِي فَعَثَرَتْ فِي مِرْطِهَا فَقَالَتْ تَعِسَ مِسْطَحٌ فَقُلْتُ لَهَا بِئْسَ مَا قُلْتِ أَتَسُبِّينَ رَجُلًا شَهِدَ بَدْرًا فَقَالَتْ يَا هَنْتَاهْ أَلَمْ تَسْمَعِي مَا قَالُوا فَأَخْبَرَتْنِي بِقَوْلِ أَهْلِ الْإِفْكِ فَازْدَدْتُ مَرَضًا عَلَى مَرَضِي فَلَمَّا رَجَعْتُ إِلَى بَيْتِي دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَلَّمَ فَقَالَ كَيْفَ تِيكُمْ فَقُلْتُ ائْذَنْ لِي إِلَى أَبَوَيَّ قَالَتْ وَأَنَا حِينَئِذٍ أُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الْخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْتُ أَبَوَيَّ فَقُلْتُ لِأُمِّي مَا يَتَحَدَّثُ بِهِ النَّاسُ فَقَالَتْ يَا بُنَيَّةُ هَوِّنِي عَلَى نَفْسِكِ الشَّأْنَ فَوَاللَّهِ لَقَلَّمَا كَانَتْ امْرَأَةٌ قَطُّ وَضِيئَةٌ عِنْدَ رَجُلٍ يُحِبُّهَا وَلَهَا ضَرَائِرُ إِلَّا أَكْثَرْنَ عَلَيْهَا فَقُلْتُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَلَقَدْ يَتَحَدَّثُ النَّاسُ بِهَذَا قَالَتْ فَبِتُّ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى أَصْبَحْتُ لَا يَرْقَأُ لِي دَمْعٌ وَلَا أَكْتَحِلُ بِنَوْمٍ ثُمَّ أَصْبَحْتُ فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ وَأُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ حِينَ اسْتَلْبَثَ الْوَحْيُ يَسْتَشِيرُهُمَا فِي فِرَاقِ أَهْلِهِ فَأَمَّا أُسَامَةُ فَأَشَارَ عَلَيْهِ بِالَّذِي يَعْلَمُ فِي نَفْسِهِ مِنْ الْوُدِّ لَهُمْ فَقَالَ أُسَامَةُ أَهْلُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا نَعْلَمُ وَاللَّهِ إِلَّا خَيْرًا وَأَمَّا عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ يُضَيِّقْ اللَّهُ عَلَيْكَ وَالنِّسَاءُ سِوَاهَا كَثِيرٌ وَسَلْ الْجَارِيَةَ تَصْدُقْكَ فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَرِيرَةَ فَقَالَ يَا بَرِيرَةُ هَلْ رَأَيْتِ فِيهَا شَيْئًا يَرِيبُكِ فَقَالَتْ بَرِيرَةُ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ إِنْ رَأَيْتُ مِنْهَا أَمْرًا أَغْمِصُهُ عَلَيْهَا قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ أَنَّهَا جَارِيَةٌ حَدِيثَةُ السِّنِّ تَنَامُ عَنْ الْعَجِينِ فَتَأْتِي الدَّاجِنُ فَتَأْكُلُهُ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَوْمِهِ فَاسْتَعْذَرَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُبَيٍّ ابْنِ سَلُولَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَعْذُرُنِي مِنْ رَجُلٍ بَلَغَنِي أَذَاهُ فِي أَهْلِي فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَى أَهْلِي إِلَّا خَيْرًا وَقَدْ ذَكَرُوا رَجُلًا مَا عَلِمْتُ عَلَيْهِ إِلَّا خَيْرًا وَمَا كَانَ يَدْخُلُ عَلَى أَهْلِي إِلَّا مَعِي فَقَامَ سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا وَاللَّهِ أَعْذُرُكَ مِنْهُ إِنْ كَانَ مِنْ الْأَوْسِ ضَرَبْنَا عُنُقَهُ وَإِنْ كَانَ مِنْ إِخْوَانِنَا مِنْ الْخَزْرَجِ أَمَرْتَنَا فَفَعَلْنَا فِيهِ أَمْرَكَ فَقَامَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ وَهُوَ سَيِّدُ الْخَزْرَجِ وَكَانَ قَبْلَ ذَلِكَ رَجُلًا صَالِحًا وَلَكِنْ احْتَمَلَتْهُ الْحَمِيَّةُ فَقَالَ كَذَبْتَ لَعَمْرُ اللَّهِ لَا تَقْتُلُهُ وَلَا تَقْدِرُ عَلَى ذَلِكَ فَقَامَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ فَقَالَ كَذَبْتَ لَعَمْرُ اللَّهِ وَاللَّهِ لَنَقْتُلَنَّهُ فَإِنَّكَ مُنَافِقٌ تُجَادِلُ عَنْ الْمُنَافِقِينَ فَثَارَ الْحَيَّانِ الْأَوْسُ وَالْخَزْرَجُ حَتَّى هَمُّوا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَنَزَلَ فَخَفَّضَهُمْ حَتَّى سَكَتُوا وَسَكَتَ وَبَكَيْتُ يَوْمِي لَا يَرْقَأُ لِي دَمْعٌ وَلَا أَكْتَحِلُ بِنَوْمٍ فَأَصْبَحَ عِنْدِي أَبَوَايَ وَقَدْ بَكَيْتُ لَيْلَتَيْنِ وَيَوْمًا حَتَّى أَظُنُّ أَنَّ الْبُكَاءَ فَالِقٌ كَبِدِي قَالَتْ فَبَيْنَا هُمَا جَالِسَانِ عِنْدِي وَأَنَا أَبْكِي إِذْ اسْتَأْذَنَتْ امْرَأَةٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَأَذِنْتُ لَهَا فَجَلَسَتْ تَبْكِي مَعِي فَبَيْنَا نَحْنُ كَذَلِكَ إِذْ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَلَسَ وَلَمْ يَجْلِسْ عِنْدِي مِنْ يَوْمِ قِيلَ فِيَّ مَا قِيلَ قَبْلَهَا وَقَدْ مَكَثَ شَهْرًا لَا يُوحَى إِلَيْهِ فِي شَأْنِي شَيْءٌ قَالَتْ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ يَا عَائِشَةُ فَإِنَّهُ بَلَغَنِي عَنْكِ كَذَا وَكَذَا فَإِنْ كُنْتِ بَرِيئَةً فَسَيُبَرِّئُكِ اللَّهُ وَإِنْ كُنْتِ أَلْمَمْتِ بِذَنْبٍ فَاسْتَغْفِرِي اللَّهَ وَتُوبِي إِلَيْهِ فَإِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَقَالَتَهُ قَلَصَ دَمْعِي حَتَّى مَا أُحِسُّ مِنْهُ قَطْرَةً وَقُلْتُ لِأَبِي أَجِبْ عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ لِأُمِّي أَجِيبِي عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا قَالَ قَالَتْ وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ وَأَنَا جَارِيَةٌ حَدِيثَةُ السِّنِّ لَا أَقْرَأُ كَثِيرًا مِنْ الْقُرْآنِ فَقُلْتُ إِنِّي وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُ أَنَّكُمْ سَمِعْتُمْ مَا يَتَحَدَّثُ بِهِ النَّاسُ وَوَقَرَ فِي أَنْفُسِكُمْ وَصَدَّقْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ قُلْتُ لَكُمْ إِنِّي بَرِيئَةٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنِّي لَبَرِيئَةٌ لَا تُصَدِّقُونِي بِذَلِكَ وَلَئِنْ اعْتَرَفْتُ لَكُمْ بِأَمْرٍ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَنِّي بَرِيئَةٌ لَتُصَدِّقُنِّي وَاللَّهِ مَا أَجِدُ لِي وَلَكُمْ مَثَلًا إِلَّا أَبَا يُوسُفَ إِذْ قَالَ {فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ} ثُمَّ تَحَوَّلْتُ عَلَى فِرَاشِي وَأَنَا أَرْجُو أَنْ يُبَرِّئَنِي اللَّهُ وَلَكِنْ وَاللَّهِ مَا ظَنَنْتُ أَنْ يُنْزِلَ فِي شَأْنِي وَحْيًا وَلَأَنَا أَحْقَرُ فِي نَفْسِي مِنْ أَنْ يُتَكَلَّمَ بِالْقُرْآنِ فِي أَمْرِي وَلَكِنِّي كُنْتُ أَرْجُو أَنْ يَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّوْمِ رُؤْيَا يُبَرِّئُنِي اللَّهُ فَوَاللَّهِ مَا رَامَ مَجْلِسَهُ وَلَا خَرَجَ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْبَيْتِ حَتَّى أُنْزِلَ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فَأَخَذَهُ مَا كَانَ يَأْخُذُهُ مِنْ الْبُرَحَاءِ حَتَّى إِنَّهُ لَيَتَحَدَّرُ مِنْهُ مِثْلُ الْجُمَانِ مِنْ الْعَرَقِ فِي يَوْمٍ شَاتٍ فَلَمَّا سُرِّيَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَضْحَكُ فَكَانَ أَوَّلَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا أَنْ قَالَ لِي يَا عَائِشَةُ احْمَدِي اللَّهَ فَقَدْ بَرَّأَكِ اللَّهُ فَقَالَتْ لِي أُمِّي قُومِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ لَا وَاللَّهِ لَا أَقُومُ إِلَيْهِ وَلَا أَحْمَدُ إِلَّا اللَّهَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ} الْآيَاتِ فَلَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ هَذَا فِي بَرَاءَتِي قَالَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَانَ يُنْفِقُ عَلَى مِسْطَحِ بْنِ أُثَاثَةَ لِقَرَابَتِهِ مِنْهُ وَاللَّهِ لَا أُنْفِقُ عَلَى مِسْطَحٍ شَيْئًا أَبَدًا بَعْدَ مَا قَالَ لِعَائِشَةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا إِلَى قَوْلِهِ غَفُورٌ رَحِيمٌ} فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ بَلَى وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لِي فَرَجَعَ إِلَى مِسْطَحٍ الَّذِي كَانَ يُجْرِي عَلَيْهِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُ زَيْنَبَ بِنْتَ جَحْشٍ عَنْ أَمْرِي فَقَالَ يَا زَيْنَبُ مَا عَلِمْتِ مَا رَأَيْتِ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ

Sekilas berkaitan peristiwa al-ifki

Pada kebiasaaannya, apabila Rasulullah SAW pergi keluar untuk berperang atau bermusafir, Baginda SAW akan membuat undian bagi isteri-isteri Baginda SAW bagi memilih siapa dalam kalangan mereka yang akan menemani Baginda SAW dalam permusafiran tersebut. Pada ketika permusafiran Baginda SAW ke peperangan Bani Mustaliq tersebut, undian tersebut memihak kepada Saidatina Aisyah R.Anha dan beliau terpilih untuk menemani Baginda SAW.

Dalam perjalanan pulang daripada peperangan tersebut, Baginda SAW dan tentera Islam berhenti seketika di satu tempat yang tidak jauh daripada Madinah al-Munawwarah dan bermalam di situ. Apabila rombongan berhenti di situ, maka Saidatina Aisyah R.Anha keluar bagi menunaikan hajatnya dengan memakai rantai di lehernya. Setelah dia pulang daripada menunaikan hajat, dia mendapati rantai di lehernya hilang tanpa disedari olehnya. Oleh itu, dia kembali ke tempat itu semula untuk mencari rantai yang hilang tersebut.

Dalam ketika dia mencari rantainya yang hilang, rombongan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW tersebut telah bersiap untuk bertolak pulang ke Madinah al-Munawwarah. Haudaj iaitu yang dibina untuk membawa Saidatina Aisyah di atas unta tersebut diangkat oleh para Sahabat tanpa menyedari bahawa Saidatina Aisyah tiada di dalamnya. Ini kerana keadaan fizikal Saidatina Aisyah yang kecil dan ringan menyebabkan para Sahabat tidak dapat membezakan bahawa Saidatina Aisyah ada di dalamnya ataupun tidak.

Lantas, apabila rombongan tersebut mendengar sahaja panggilan untuk bergerak, mereka terus berangkat tanpa memeriksa haudaj tersebut.

Apabila Saidatina Aisyah kembali ke tempat rombongan tadi berada, dia mendapati bahawa rombongan tersebut telah pun beredar menuju ke Madinah. Lalu dia duduk dan terbaring di situ dengan membungkuskan dirinya dengan kain jilbabnya. Ini kerana apabila rombongan tersebut menyedari ketiadaan Saidatina Aisyah R.Anha, mereka akan kembali mencarinya di tempat tersebut.

Dalam keadaan Saidatina Aisyah seperti itu, maka selepas itu datang Saidina Safwan Ibn al-Mu’atthil al-Sulami RA yang ketinggalan di belakang kerana melaksanakan tugasannya. Apabila beliau sampai di tempat rombongan Rasulullah SAW tadi berada, beliau mendapati ada sebuah benda yang disangkanya barang yang tertinggal daripada rombongan Rasulullah SAW.

Lalu beliau datang mendekati benda tersebut dan mendapati bahawa itu ialah isteri Baginda SAW, Saidatina Aisyah R.Anha. Beliau bertanya, apakah yang menyebabkan dia tertinggal, namun Saidatina Aisyah tidak menjawabnya. Beliau pun mendekatkan kuda kepada Saidatina Aisyah R.Anha untuk dia naik menunggangi kuda. Kemudian dia naik ke atas kuda tersebut dan Saidina Safwan menarik kepala kuda tersebut dan bertolak dengan segera menuju kepada rombongan yang telah beredar tersebut.

Fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk dihadapi oleh Ummu al-Mukminin Aisyah R.Anha. Ia menimpa rumah tangga dan keluarga manusia yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga sahabat terdekat baginda SAW iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Fitnah ini berlarutan selama sebulan.

Walaubagaimanapun, Aisyah R.Anha tidak tahu-menahu walaupun sedikit berkaitan fitnah yang telah tersebar mengenai kesucian maruahnya tersebut. Dia hanya merasai perubahan sikap dan suasana disekelilingnya dan juga perubahan yang ada pada Rasulullah SAW setelah kepulangannya daripada peperangan Bani Mustaliq.

Saidatina Aisyah R.Anha pada satu ketika keluar bersama-sama Ummu Misthah menuju ke tempat menunaikan hajat di malam hari. Pada ketika itu, Ummu Misthah tergelincir disebabkan pakaiannya sendiri dan beliau melatah, “Celakalah Misthah!”.

Apabila Saidatina Aisyah mendengarkan perkataan itu, Saidatina Aisyah R.Anha menegurnya dengan tegas kerana Misthah merupakan ahli Badar. Lantas, Ummu Misthah menyedari bahawa Aisyah masih tidak mengetahui mengenai berita tersebut, lalu menerangkan dan menceritakan segala perkara yang berlaku dan tuduhan kaum munafiq padanya.

Lalu setelah Saidatina Aisyah mendengar cerita itu, dia segera pulang dan menemui ibunya dan meminta penjelasan. Seorang wanita Ansar pun datang menemui mereka dan menceritakan segala-galanya dengan terperinci sehinggakan kejutan yang diterima ini menyebabkan Saidatina Aisyah R.Anha jatuh pengsan.

Ketika beliau sedar dari pengsan, Rasulullah SAW datang menjenguknya, namun beliau meihat perubahan pada baginda kerana bagida hanya memberi salam dan bertanyakan keadaan Aisyah lalu lantas keluar. Disebabkan melihat kepada perubahan tersebut, beliau meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menetap sementara waktu di rumah orang tuanya dan Rasulullah SAW membenarkan.

Apabila fitnah masih lagi berterusan yang tidak menunjukkan hentinya, Baginda SAW mengambil keputusan untuk meminta pendapat sahabatnya. Baginda SAW memanggil Saidina Ali bin Abi Thalib RA dan Usamah bin Zaid RA. Usamah bin Zaid RA menegaskan bahawa beliau tidak dapat membenarkan tuduhan tersebut terhadap Saidatina Aisyah R.Anha kerana tuduhan berat itu dianggap sebagai satu perkara yang pembohongan dan rekaan semata-mata. Tambahan pula, kesemua sahabat dan Rasulullah SAW sendiri mengenali Saidatina Aisyah sebagai seorang wanita yang solehah, taat dan bertaqwa.

Berbeza pula keadaannya dengan Saidina Ali Ibn Abi Talib disebabkan oleh rasa simpatinya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Lalu beliau menyarankan kepada Nabi agar bertanyakan tentang Aisyah kepada pembantu Aisyah sendiri iaitu Barirah kalau-kalau ia mengetahui tentang apa yang sebenarnya terjadi. Lalu Barirah dibawa untuk menemui Baginda SAW.

Maka Baginda SAW pun bertanyakan tentang hal Saidatina Aisyah R.Anha kepada Barirah. Lalu dia berkata: “ Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, Aisyah sungguh lebih baik daripada emas yang baik.”

Setelah mendengar penjelasan Barirah, Rasulullah bertanya pula kepada isteri Baginda SAW iaitu Zainab binti Jahsy RA mengenai peribadi Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah. Sebagaimana yang telah diketahui, Zainab Bint Jahys RA sering bersaing dengan Aisyah R.Anha memenangi hati Rasulullah SAW.

Namun begitu, ketika Rasulullah SAW bertanyakan mengenai Aisyah berhubung peristiwa fitnah ini, Zainab RA menjawab dengan baik, “Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak ketahui daripada diri Aisyah ini melainkan kebaikan semata.”

Setelah mendengar pelbagai pandangan, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bertemu dengan Saidatina Aisyah R.Anha sendiri di rumah mertuanya dan bertanyakan kepadanya secara langsung. Bagi Rasulullah SAW, kaedah ini dilihat sebagai satu kaedah yang terbaik untuk memperolehi kebenaran. Di rumah Abu Bakar RA Rasulullah SAW telah berkata kepada Saidatina Aisyah R.Anha, jika dia benar melakukannya maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.

Kata-kata Rasulullah SAW tersebut membuatkan Saidatina Aisyah terluka dan berkecil hati kerana seolah-olah Baginda SAW mempercayai tuduhan tersebut. Saidatina Aisyah kemudiannya memandang kepada kedua orang tuanya, untuk melihat reaksi mereka terhadap apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW.

Akan tetapi keduanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Aisyah mengerti mengapa keduanya berdiam diri kerana hanya dirinya sahaja yang mampu menjawab kata-kata Rasulullah SAW tadi.

Aisyah menjawab kepada Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dengan menafikan tuduhan tersebut dan enggan bertaubat kerana dia tidak melakukan maksiat tersebut. Dia berkata bahawa bersabar lebih baik dan hanya kepada Allah sahajalah dia memohon pertolongan atas apa yang dituduhkan kepadanya.

Ketika Rasulullah SAW ingin pulang, wajah Baginda SAW mula berubah dan keadaan Baginda SAW pada ketika itu nampak begitu berat dan berpeluh, sedangkan ketika itu adalah musim sejuk. Selepas daripada itu, lahir kegembiraan daripada wajah Rasulullah SAW, Baginda SAW tersenyum gembira dengan berkata: “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu.”

Lalu Saidatina Aisyah mengucapkan tahmid kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT telah membersihkan nama Saidatina Aisyah R.Anha daripada fitnah itu dengan turunnya wahyu iaitu ayat 11-19, Surah al-Nur bagi menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku. Ayat selepas itu menerangkan tentang hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan (qazaf) terhadap wanita yang suci dengan menghukumnya dengan hukuman sebatan. Hukuman qazaf dilaksanakan ke atas sahabat yang membicarakan dan mempercayai fitnah tersebut seperti Saidina Hasan Ibn Thabit RA, Masthath RA dan Hammanah RA. [3]

Pengajaran daripada kisah

Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah yang telah diceritakan oleh Aisyah. Ianya sangat berkait rapat dengan apa berlaku di zaman kita ini. Apatah lagi pada zaman kita berkembangnya teknologi dan ianya boleh dimanipulasi sesuka hati oleh sesiapa pun.

Al-Qadhi Iyadh menyatakan bahawa di dalam kisah ini banyak faedah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Antaranya ialah:

berhukum dengan yang zahir,

sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin khususnya mereka yang terkenal dengan kebaikan dan soleh seperti Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attal.

Begitu juga, jangan pedulikan pembohongan yang secara terang-terangan dibuat seperti mana yang ditunjukkan oleh kebanyakan kaum muslimin ketika mana Aisyah R.Anhanha dituduh.

Beliau juga menyebut bahawa di dalam kisah ada isyarat agar segala apa yang diuji dan dituduh serahkan sepenuhnya pada Allah SWT,

Banyakkan berdoa dan bertaubat kepada-Nya. (Rujuk Kamal Al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, 8/142)

Imam Al-Bukhari meletakkan kisah ini juga di dalam bab ‘ Jika seseorang membuat pengakuan dengan mengatakan : tidak kami tahu tentang orang ini melainkan yang baik-baik sahaja’ (باب: إِذَا عَدَّلَ رَجُلٌ أَحَدًا فَقَالَ لاَ نَعْلَمُ إِلاَّ خَيْرًا، أَوْ قَالَ مَا عَلِمْتُ إِلاَّ خَيْرًا) yang dimuatkan di dalam Kitab Penyaksian (الشهادات).

Yang menariknya Maulana Zakariya Al-Kandahlawi menyatakan bahawa jika orang ramai sudah mengaku bahawa seorang individu sememangnya terkenal dengan kebaikan maka pengakuan itu boleh diambil. (Rujuk Al-Abwab Wa Al-Tarajim Li Sahih Al-Bukhari, 4/142).

Kita juga boleh belajar daripada sikap Ummu al-Mukminin Zainab Binti Jahsyi ketika mana Aisyah R.Anha dituduh berzina. Ketika Rasulullah SAW bertanya kepada beliau tentang apa yang berlaku pada ketika itu beliau menyebut :

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ

Maksudnya : Wahai Rasulullah aku menjaga telinga dan mataku. Tidak aku tahu berkenaan Aisyah melainkan yang baik-baik sahaja. Dia memang sentiasa menyaingi aku akan tetapi Allah menjaganya dengan kewarakan yang ada padanya.”

Riwayat Al-Bukhari (4381)

Melihat sikap Zainab sudah cukup menginsafi kita. Walaupun Aisyah merupakan pesaing Zainab namun Zainab tidak langsung bercakap buruk tentang Aisyah. Boleh sahaja beliau memburuk-burukkan Aisyah agar Rasulullah SAW tidak lagi melebihkan Aisyah seperti sebelum-sebelum ini, namun iman dan akal yang sihat mendahului nafsu. Beliau sentiasa mengatakan yang baik tentang Aisyah tatkala keadaan pada ketika itu menjadi kacau bilau dek kerana fitnah yang sedang melanda.

Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi menyatakan lagi beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini. Antaranya :

Pertama : Fitnah yang tersebar luas dan tidak dapat dibendung akan menimbulkan implikasi yang buruk dengan menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan masyarakat. Ini kerana masyarakat akan saling berprasangka dan menuduh di antara satu sama lain pada perkara yang belum pasti samada ia benar ataupun tidak. Lalu menimbulkan perasaan yang kurang senang antara satu sama lain.

Kedua : Tuduhan jahat dan fitnah walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar dipercayai, namun masih sahaja terdapat golongan yang terpengaruh dan mempercayai bahawa fitnah tersebut benar-benar berlaku. Ini seperti yang terjadi kepada beberapa orang sahabat yang mempercayai fitnah Hadith al-Ifk tersebut seperti Misthah RA, Zaid Ibn Thabit RA, Hammanah Binti Jahsy RA dan lain-lain.

Ketiga : Tipu-daya dan komplot daripada golongan kafir dan munafiq untuk memecah-belahkan umat Islam daripada dalam, selepas mereka terhina dengan kekalahan peperangan Al-Ahzab. Apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak dapat mengalahkan Nabi Muhammad SAW dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataan, maka mereka menggunakan serangan saraf yang melemahkan umat Islam daripada dalam dengan menimbulkan fitnah. Ini menyebabkan umat Islam tidak lagi bersatu hati dan timbul perasaan tidak senang dalam kalangan mereka.

Keempat : Tujuan golongan munafiq menyebarkan fitnah ini dalam kalangan masyarakat adalah untuk menyakiti Nabi SAW dengan menuduh orang yang paling disayangi oleh Nabi SAW iaitu isterinya, Saidatina Aisyah R.Anha. Sekaligus, ia menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap ahli keluarga yang rapat dengan Baginda SAW, yang pada akhirnya akan menggugat kepercayaan kepada Baginda SAW sendiri.

Kelima : Tindakan para Sahabat yang membela Saidatina Aisyah R.Anha untuk menjaga maruah dirinya daripada dipermainkan oleh golongan munafiq merupakan sesuatu yang wajar dipuji kerana ia memberi kekuatan kepada orang yang dituduh oleh fitnah yang besar tersebut. Ini seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA yang membela anaknya tersebut daripada tuduhan tersebut.

(Rujuk Sirah Al-Nabawiyah Li Al-Nadwi, hlm 273)

Kami melihat suasana yang berlaku pada hari ini hampir membetuli apa yang diutarakan oleh Abu Hasan Ali Al-Nadwi

Saranan al-quran dalam menghadapi fitnah

Apabila kita selusuri satu persatu ayat daripada Surah Al-Nur kita akan dapati bahawa Al-Quran memberikan saranan dan cara bagaimana menghadapi fitnah yang sedang melanda. Saranan-saranan ini datang sejurus selepas Allah membebaskan Saidatina Aisyah daripada tuduhan zina bersama Sofwan Bin Mu’attol pada ayat yang ke 11. Antara saranan tersebut ialah :

Pertama : Sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT :

لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا۟ هَـٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ

Maksudnya :” Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

(Surah Al-Nur : 12)

Inilah yang dilakukan oleh sebahagian sahabat Nabi ketika mereka mendengar berita tentang Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attol. Di antaranya ialah Abu Ayub Al-Ansari dan keluarganya. Mereka tidak langsung terlibat dalam komplot penyebaran mahupun mempercayainya. (Rujuk Al-Kasyaf ‘An Haqaiq Ghawamid Al-Tanzil, 3/212)

Kedua : Datangkan bukti atas setiap berita yang datang. Firman Allah SWT :

لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّـهِ هُمُ ٱلْكَـٰذِبُونَ

Maksudnya :” Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”

(Surah Al-Nur : 13)

Ketiga :Jangan sesekali memperkecilkan dan meremehkan fitnah yang berlaku. Ini adalah perkara yang amat penting untuk diamati. Sikap orang Islam sepatutnya tidak melibatkan diri dalam apa-apa komplot untuk memburukkan orang lain dengan melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui firman Allah :

إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّـهِ عَظِيمٌ

Maksudnya :” Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

(Surah Al-Nur : 15)

Keempat : Nasihat orang ramai agar jangan bercakap dan menyebarkan fitnah. Ini juga adalah sikap yang paling penting dalam menghadapi fitnah yang sedang melanda. Orang beriman lidahnya penuh dengan tanggungjawab. Dia tidak akan sewenangnya percaya dan menyebarkan berita fitnah yang datang. Dia juga menasihati orang lain agar jangan terlibat dalam penyebaran fitnah yang tidak diketahui kebenarannya. Firman Allah SWT :

وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبْحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهْتَـٰنٌ عَظِيمٌ

Maksudnya :” Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

(Surah Al-Nur : 16)

Dan termasuklah menyebarkan berita melalui media massa tanpa usul periksa di samping masing-masing mengutarakan pendapat tanpa pengetahuan yang sebenar.

Semoga Allah tunjukkan kita perkara yang sebenar. Banyakkan berdoa :

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya :” Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahu’alam.

Artikel asal: http://bit.ly/hadithifk

2. Bahaya Fitnah
bahaya fitnah mufti
BAHAYA FITNAH - Mufti WP
Mutakhir ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang belum dipastikan akan kesahihannya di media sosial. Hal ini amat membimbangkan kerana ia mampu memecah belahkan perpaduan sesama manusia secara umumnya dan umat Islam itu sendiri secara khususnya. Justeru, agama kita telah menggariskan beberapa panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan perkara sebegini. Oleh itu, kami terpanggil untuk menulis sebuah artikel di dalam ruangan Bayan Linnas yang bertajuk “Bahaya Fitnah.”

Semoga Allah SWT selamatkan kita dari sebarang fitnah.

Definisi Fitnah

Fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah yang membawa makna seperti ibtila’ atau ujian. [Lihat: Tahzib al-Lughah, 14/296] [Lihat: Maqayis al-Lughah, 4/472].

Ibn Athir pula menambah bahawa asalnya fitnah digunakan oleh kebanyakan bangsa arab sebagai ujian, kemudian penggunaanya juga masyhur bagi menunjukkan makna kufur, pembunuhan serta kebakaran. [Lihat: al-Nihayah, 3/410]

Untuk itu, fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar menyebut bahawa:

إِنَّ الفِتَنَ غَالِبًا إِنَّما تُنْشَأُ عَنِ التَّبْدِيْلِ وَالإِحْدَاثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” [Lihat: Fath al-Bari 27/3]

Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat]

Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat Muslim (105)]

Ciri-Ciri Fitnah Dalam Konteks Semasa

Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar. Fitnah berlaku dalam dua keadaan:

Pertama, apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

Kedua, apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebagai contoh, Kasim mereka cerita kononnya Harun telah berzina dengan teman wanitanya, lalu cerita itu disebarkan ke dalam laman blognya dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah Harun.

Lalu apabila berita itu dibaca oleh Abu, tanpa sebarang usul periksa tentang kesahihannya, Abu menyebarkannya di dalam facebook tanpa apa-apa niat tetapi sekadar menukil dan menyampaikan berita. Dalam situasi ini, kedua-duanya iaitu Kasim dan Abu telah menjadi pelaku dan penyebar fitnah terhadap Harun.  

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam era masa kini, dengan kemudahan serba canggih, sebarang bentuk maklumat amat mudah sekali disebarluaskan terutamanya menerusi whatsapp dan internet.

Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah konvensional dilihat masih lagi menjadi penyumbang tersebarnya berita fitnah seperti menerusi laporan akhbar dan televisyen yang tidak tepat, ceramah-ceramah yang semberono, sembang-sembang santai di warung atau kedai kopi, perbualan sesama rakan sepejabat dan sebagainya. Kesemua medium ini dilihat masih lagi menjadi pilihan bagi mereka yang berkenaan melakukan fitnah disebabkan ianya mudah membentuk persepsi tanpa akan dinilai atau dipersoal kesahihannya oleh sesiapa.

Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Gejala Fitnah

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi.

Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” [Surah al-Maidah : 91]

Oleh itu, fitnah adalah salah satu perbuatan yang amat disukai syaitan lantaran ia boleh memecahbelahkan umat Islam sehingga tiada lagi kesatuan sesama mereka.

Bagi kategori penyebar fitnah pula, faktor utama daripada perbuatan mereka ini adalah cuai dalam menukilkan berita atau cerita yang didengar tanpa meneliti kesahihannya terlebih dahulu. Orang yang melakukan perbuatan seperti ini dianggap oleh Rasulullah SAW sebagai pembohong. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”. [Riwayat Muslim (4482)]

Malah perbuatan menyebarkan berita tanpa usul periksa ini pernah ditempelak oleh Allah SWT di dalam kisah fitnah terhadap Sayyidah Aishah R.Anha, firman Allah SWT dalam surah al-Nur:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١١﴾ لَّوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَـٰذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” [Surah al-Nur : 11-12]

Balasan Bagi Orang Yang Membuat Fitnah

Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” [Surah al-Nur:19]

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk, kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut. [Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim (10/195)]

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أَتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الْكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ

Maksudnya: “Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” [Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya (655)]

Selain itu, Nabi SAW juga bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A:”

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ“.‏ قَالَهَا ثَلاَثًا ‏‏”

Maksudnya: “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali” [Riwayat Muslim (2670)]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut golongan-golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadith ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim (16/461)]

Pandangan Ulama Berkaitan Fitnah

Berikut adalah beberapa pandangan berkaitan dengan fitnah:

Syeikh Azhar Dr. Sheikh Ahmad Tayyib Hafizahullah berkata: “Fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam telah melahirkan golongan yang berfahaman keras dan melahirkan gejala kafir-mengkafirkan antara umat Islam dan terrorisme”[1]

Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi Hafizahullah berkata: “Para Sahabat akan melarikan diri jika terzahirnya fitnah pada sesuatu tempat seperti yang dilakukan oleh Abu Darda’ R.A”[2]

Sheikh Saad bin Turki al-Khaslan Hafizahullah berkata: “Hendaklah umat Islam mengetahui jalan-jalan yang membawa kepada kejahatan dan menjauhinya seperti mana kita dikehendaki untuk mengetahui jalan-jalan yang membawa kepada kebaikan. Kejahilan terhadap perkara ini akan membawa kepada berlakunya kejahatan, seterusnya akan berlaku fitnah dalam keadaan dia tidak menyedarinya”[3]

Sheikh Abdul ‘Aziz bin Baz Rahimahullah berkata: “Fitnah terjadi disebabkan syubhat dan syahwat, berapa banyak fitnah yang terjadi pada kebanyakan manusia disebabkan oleh syubhat-syubhat yang tiada padanya asas seperti mana yang telah menimpa kumpulan-kumpulan sesat seperti Jahmiyyah, Muktazilah, Syiah dan Murji’ah dan jalan untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai jenis fitnah adalah dengan berpegang teguh dengan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW.[4]

Kesan Daripada Fitnah

Perbuatan fitnah ini akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara. Antaranya ialah:

Perasaan cemburu yang diakhiri dengan pembunuhan seperti mana yang berlaku dalam peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman Bin Affan R.A.

Memecahkan perpaduan masyarakat hingga melahirkan golongan yang terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan dengan golongan yang mempertahankan. Ini secara tidak langsung akan menatijahkan perpecahan yang jelas sehingga merugikan umat Islam itu sendiri.

Perbuatan fitnah akan menjadikan seseorang itu buta daripada kebenaran dalam menilai sesuatu perkara dari kebenaran yang hakiki.

Fitnah akan menyebabkan muslim itu tenggelam dalam konspirasi kuffar yang bercita-cita memecahbelahkan umat Islam.

Orang yang termakan dengan fitnah itu adalah orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai sahabat mereka.

Fitnah itu akan menjauhkan seseorang itu daripada agamanya.

Langkah-Langkah Dalam Menangani Fitnah

Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat terhindar daripada fitnah, adalah seperti berikut:

Mendalami ilmu agama secara berterusan seterusnya mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari.

Sentiasa mengingatkan diri bahawa segala perbuatan kita akan dicatat dan dihisab oleh Allah SWT.

Memotivasikan diri bahawa fitnah adalah suatu pendustaan dan pendusta balasannya adalah neraka Allah SWT, maka menolaknya adalah wajib.

Mendekati para alim ulama’ dan orang-orang soleh serta menjauhi orang-orang yang suka menyebarkan fitnah.

Melakukan tabayyun dan bertanya setiap isu yang berbangkit kepada ahlinya.

Memastikan kesahihan setiap maklumat yang diperolehi sebelum disebarkan.

Sentiasa mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri supaya timbul keinsafan untuk memelihara keaiban orang lain tanpa mengira kawan atau lawan.

Kenyataan Mufti

Alhamdulillah, berdasarkan kepada kenyataan kami di atas, kami ulangi agar kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua. Justeru, selagimana kita menyayangi saudara kita, maka Allah SWT akan menyayangi kita.

Semoga Allah menyayangi diri kita semua dan menempatkan diri kita semua di syurga-Nya. Kami akhiri artikel kali ini dengan doa:

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir.”[Surah Yunus: 85-86]

Artikel asal: http://bit.ly/bfitnah

3. Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat?
isu qazar tuduhan liwat
Isu Qazaf: Adakah termasuk tuduhan liwat - Mufti WP
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Oleh kerana isu qazaf berbangkit semula dan menjadi hangat, justeru dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat? Semoga sebuah kefahaman yang jelas dipandu kepada kita semua. Amin.

Takrif Qazaf

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, qazaf dari sudut bahasa membawa erti lontaran tuduhan. Dalam Mukhtar al-Sihah, qazaf dengan menggunakan batu adalah melontar menggunakannya. Manakala dari sudut istilah, qazaf adalah tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/427)

Manakala sebahagian ulama’ mendefinisikan qazaf sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab. 

Hukum Qazaf

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/427) menyebut: Haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengn tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya. Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji.

Manakala dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, Syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa-dosa besar. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Maksudnya: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina.

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)

Bahkan perbuatan qazaf merupakan antara jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Surah al-Nur (4)

Antara hikmah disyariatkan hukuman hudud terhadap perbuatan Qazaf adalah kerana Islam menggesa ke arah penjagaan maruah daripada perkara-perkara yang mencemar dan memburukkan maruah.

Adakah Qazaf Meliputi Liwat?

Definisi Liwat

Liwat dari sudut bahasa merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut disebabkan tidak ada yang melakukan perbuatan jenayah ini sebelum kaum Lut. Ini seperti yang difirman oleh Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

Surah al-A’raf (80)

Syeikh al-Maraghi berkata: Perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu pada mana-mana zaman pun tetapi perbuatan itu termasuk dalam perkara baru yang kamu buat dalam soal kerosakan sehingga kamu merupakan contoh dan teladan dalam perbuatan yang jahat. Oleh itu kamu akan menerima dosa dan dosa daripada sesiapa sahaja yang mengikut kamu dalam melakukan perbuatan-perbuatan jahat itu sampai hari kiamat.

Ini merupakan keterangan bahawa keburukan-keburukan yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan tuntutan-tuntutan fitrah. Keadaan ini sememangnya tidak diingini oleh hati sesiapa pun daripada umat sebelum mereka, malah hal itu bertentangan dengan petunjuk agama. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2279)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Ungkapan “أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ” adalah istifham pengingkaran dan penghinaan. (Lihat Tafsir al-Munir, 8/514)

Hukum Liwat

Para ulama’ telah bersepakat akan pengharaman liwat dan menyatakan bahawa ia merupakan antara sebesar-besar perbuatan yang keji. Antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada pengharaman liwat adalah seperti berikut:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ.

Maksudnya: Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.

Riwayat al-Nasa’ie (7297)

Hadis ini menunjukkan bahawa pelaku perbuatan liwat dilaknat oleh Allah SWT dan amaran laknat ke atas sesuatu perbuatan menunjukkan kepada haram dan dosa besarnya perbuatan tersebut.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Bunuhlah peliwat dan yang diliwat.

Riwayat al-Tirmizi (1456)

Berdasarkan hadis di atas, wajah dilalah ke atas pengharaman liwat adalah apabila disertakan hukuman bunuh ke atas pelaku perbuatan tersebut.

Menurut mazhab Jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh. Kami nukilkan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (33/9):

وَمَنْ قَذَفَ رَجُلاً بِعَمَل قَوْمِ لُوطٍ إِمَّا فَاعِلاً أَوْ مَفْعُولاً، فَعَلَيْهِ حَدُّ الْقَذْفِ؛ لأَِنَّهُ قَذَفَهُ بِوَطْءٍ يُوجِبُ الْحَدَّ، فَأَشْبَهَ الْقَذْفَ بِالزِّنَا، وَهَذَا قَوْل الْحَسَنِ وَالنَّخَعِيِّ، وَالزُّهْرِيِّ وَمَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ، وَأَحْمَدَ وَأَبِي يُوسُفَ، وَمُحَمَّدِ بْنِ الْحَسَنِ وَأَبِي ثَوْرٍ

“Barangsiapa yang menuduh seorang lelaki dengan perbuatan kaum Lut, sama ada dengan tuduhan sebagai peliwat atau yang diliwat, maka ke atas orang yang menuduh itu hukuman had qazaf. Ini kerana dia menuduh seseorang melakukan persetubuhan yang mewajibkan hukuman had, maka ia menyerupai tuduhan qazaf dengan zina. Inilah pendapat al-Hasan, al-Nakhaie, al-Zuhri, Malik, al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan, dan Abu Thaur.”

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Raudhah al-Tolibin (10/90):

قَوْلُنَا: إِيلَاجُ الْفَرَجِ فِي الْفَرْجِ، يَدْخُلُ فِيهِ اللِّوَاطُ، وَهُوَ مِنَ الْفَوَاحِشِ الْكَبَائِرِ، فَإِنْ لَاطَ بِذَكَرٍ، فَفِي عُقُوبَةِ الْفَاعِلِ قَوْلَانِ، أَظْهَرُهُمَا: أَنَّ حَدَّهُ حَدُّ الزِّنَا، فَيُرْجَمُ إِنْ كَانَ مُحْصَنًا، وَيُجْلَدُ وَيُغَرَّبُ إِنْ لَمْ يَكُنْ مُحْصَنًا،

“Pendapat kami (mazhab Syafie): tenggelamnya faraj (alat sulit) dalam faraj (alat sulit) termasuk dalamnya ialah perbuatan liwat, yang merupakan salah satu daripada perbuatan keji dan dosa besar. Jika seseorang meliwat seorang lelaki, maka tentang hukuman pelakunya ada dua pendapat; pendapat yang azhar adalah hukumannya sama seperti hukuman zina. Maka direjam sekiranya dia seorang yang muhsan, atau dirotan serta dibuang negeri sekiranya bukan muhsan.”

Beliau berkata jua:

إِذَا رَمَى بِالْإِصَابَةِ فِي الدُّبُرِ، كَقَوْلِهِ: لُطْتِ أَوْ لَاطَ بِكِ فُلَانٌ، فَهُوَ قَذْفٌ، سَوَاءٌ خُوطِبَ بِهِ رَجُلٌ أَوِ امْرَأَةٌ

“Jika seseorang menuduh seseorang mendatangi seseorang pada dubur, seperti dia berkata: “Kamu telah meliwat” atau “Seseorang telah meliwat engkau.”, maka itu adalah qazaf, sama ada jika ia ditujukan kepada lelaki atau wanita.” Rujuk Raudhah al-Tolibin (8/311)

Qazaf Liwat Menurut Undang-undang Syariah di Malaysia

Peruntukan berkenaan liwat diperuntukkan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen 25 memperuntukkan ‘mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’

Manakala Seksyen 41 memperuntukkan bahawa ‘kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’ [1]

Semoga sebuah kefahaman berkenaan qazaf kepada kita semua menjadi jelas dan nyata. Kami berdoa kepada Allah agar kita semua mengelakkan diri daripada terjebak kepada qazaf kerana ia termasuk dalam dosa-dosa besar.

[1] Walau bagaimanapun, berdasarkan kes-kes yang diputuskan sebelum ini, Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Selangor enggan menerima tafsiran bahawa tuduhan liwat untuk dimasukkan di bawah kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41. Ini kerana menurut para hakim Syarie, akta atau enakmen berkenaan hanya menafsirkan zina sebagai hubungan kelamin antara lelaki dan wanita sahaja, dan tidak memasukkan perbuatan liwat. Justeru, pihak Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes qazaf melibatkan tuduhan liwat. Wallahua’lam.

Artikel asal: http://bit.ly/qazafliwat

4. Tabayyun Dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita
tabayyun dalam sampaikan berita
Tabayyun dalam penerimaan dan penyampaian berita - Mufti WP
Mutakhir kini, dalam era globalisasi yang serba maju, seiring dengan kecangihan teknologi global, tidak menjadi satu kemustahilan dan kesukaran bagi seseorang untuk menyebarluaskan sesuatu maklumat untuk disampaikan kepada masyarakat.

Bahkan manusia kini lebih banyak berinteraksi kepada alam maya yang terkumpul didalamnya limpahan berita yang diperoleh melalui pelbagai saluran seperti surat khabar, majalah, Media massa (WhatsApp, Facebook, Instagram, YouTube) dan sebagainya. Taip sahaja kata kunci pada enjin carian internet, setiap perincian maklumat yang diperlukan akan dipamerkan. Isunya, adakah maklumat yang mudah untuk diperoleh ini, mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya?.

Jika perkhabaran itu merupakan satu kebenaran, maka ia adalah baik bagi yang menerimanya, namun jika ia adalah sebaliknya maka pasti mengundang kepada permusuhan dan perselisihan.

Kehidupan bermasyarakat pada hari ini tidak lekang daripada membincangkan isu-isu semasa sebagai bahan gosip dan hujah dalam mengadu domba diantara manusia. Keadaan ini diperkeruhkan dengan kehadiran sekelompok masyarakat yang menjadikan gosip dan aib orang lain sebagai bahan dagangan untuk mengaut keuntungan dunia dalam meraih populariti. Akhirnya, masyarakat akan hidup dalam keadaan bermusuhan dan kucar kacir.

Kita sering terlupa bahawa Allah SWT berpesan di dalam firmanNya bahawa umat Islam perlu bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang.

Adab atau sikap yang terkait dengan “tabayyun” ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Justeru penulisan bagi kali ini bertujuan untuk menyebarluaskan kefahaman dalam memahami konsep tabayyun dalam menerima segala berita dan maklumat, seterusnya diharapkan penulisan ini dapat dihayati dan sedikit sebanyak memberi kefahaman.

Definisi Tabayyun

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.

Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata,

“Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat kitab Fathul Qadir, 5:65)

Syariat Tabayyun

Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebebaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran,

Firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa. Allah SWT telah mengajar hambanya supaya beradab mulia dalam soal agama ataupun dunia. Dan berhubung dengan perkara itu, apabila seseorang yang fasik datang memberitahu sesuatu berita yang bertentangan dengan syiar agama. Oleh itu jangan mempercayai beritanya itu melainkan dengan menyelidik serta menelitinya dahulu. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 26/126)

Syeikh Ali al-Sobuni di dalam tafsirnya menyatakan jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan beritanya itu. Ini supaya kamu tidak menghukum atau menuduh sesuatu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat: Sofwah al-Tafasir, 3/216)

Dr. Wahbah Zuhaili dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan: Allah SWT menyeru kepada umatnya yang beriman, apabila datang orang fasik menyampaikan berita sebaiknya mencari kebenaran berkenaan dengan berita itu dan janganlah terlalu cepat menghukumnya dan menyebarnya. Ini kerana takut akan keburukan dan perkara yang tidak diingini berlaku di atas keputusan yang salah serta memberi kemudharatan ke atas orang lain. (Lihat: al-Tafsir al-Munir oleh Dr.Wahbah al-Zuhaili, 26/227)

Akibat Tidak Tabayyun

Tidak bertabayyun di dalam sesuatu berita itu boleh menyebabkan terjadinya prasangka yang buruk berlaku di kalangan masyarakat serta keadaan yang kurang tenang. Allah SWT melarang daripada melakukan perbuatan ini sepertimana firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖوَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah al-Hujurat, 12)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di mentafsirkan akan di atas bahawa Allah SWT melarang berprasangka buruk terhadap saudara muslimnya. Dengan sebab berprasangka buruk ini akan menyebabkan berlaku pengumpatan dan mencerca. Melakukan perkara yang diharamkan sehingga tertanam di dalam hatinya perasaan yang buruk terhadap rakan muslimnya dan menimbulkan permusuhan sesamanya. (Lihat: Tafsir al-Sa’di, 1/801).

Ini menunjukkan bahawa bertapa pentingnya megetahui kebenaran sesuatu berita yang disampaikan. Ia bagi menjaga ikatan persaudaraan sesama muslim itu satu perkara yang harus dititik beratkan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚوَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya

(Surah ali-Imram, 103)

Oleh itu penelitian di dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya. Ini supaya dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran berita palsu dan perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan yang pendusta. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, sabda Nabi SAW:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)

Riwayat Muslim (5)

Adab Menyampaikan Berita

Dalam menyampaikan berita, seseorang itu harus bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya. Oleh itu seharusnya berhati-hati dalam setiap aspek yang dilakukannya. Hal ini kerana Allah SWT memandang berat terhadap perbuatan ini dan Nabi SAW memperingati umatnya supaya berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

Riwayat al-Tirmizi (2314)

Selain itu, berita yang disampaikan itu mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Ini supaya tidak mengundang kemurkaan daripada Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

(Surah An-Nur, 11)

Kaedah Menerima Berita

Akhlak dan prinsip yang terkandung di dalam al-Quran mengajar manusia sentiasa bersangka baik dan tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan dalam sesuatu pengkhabaran. Hal ini ditekankan oleh Baginda SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا ‏"

Maksudnya: Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan penipuan yang besar. dan janganlah melihat kesalahan orang lain, dan janganlah suka mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah saling membenci, dan janganlah memutuskan hubungan persaudaraan akan tetapi jadikanlah kalian hamba Allah yang bersaudara.

Riwayat al-Bukhari (6724)

Allah SWT memperingati bahawa janganlah meyakini sesuatu perkara itu sebelum memastikan kebenarannya. Dan tidak mengikuti prasangka dan khabar berita yang buruk. Ini kerana setiap pancaindera dan hati manusia akan diperhitungkan di hari Akhirat kelak. 

Firman Allah SWT:

ولَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

(Surah al-Isra’, 36)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan “Janganlah mengikuti apa yang tidak kamu ketahui. Bahkan perkara ini bergantung di atas apa yang dikatakan dan dilakukan. Ini kerana setiap perbuatan serta anggota tubuh itu akan di pertanggungjawabkan sama ada dari segi perbuatan atau percakapan. Dan tujuan penciptaannya adalah bertujuan untuk ibadah kepada Allah SWT dan berkerja untuk agama”. (Lihat: Tafsir al-Sa’di, 1/457)

Oleh itu, memastikan sesuatu pengkhabaran itu merupakan satu tuntutan bagi mengelak terjadinya fitnah dan permusuhan diantara manusia. Satu kaedah yang masyhur ada menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Selain itu, terdapat kata-kata hukama’ yang menyatakan:

وَاتْرُكِ القَالَ وَ القِيلَ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang orang kata, dan apa yang dikatakannya.

Peringatan Oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam kitabnya “Al-Halal Wa Al-Haram” di mana Rasulullah SAW bersabda:

شِرَارُ عِبَادَ اللهِ المَشَّاؤُونَ بِالنَمِيمَةِ، المُفَرِّقُونَ بَيْنَ الأَحِبَّةِ، البَاغُونَ لِلبُرَءاءِ العَيْبَ

Maksudnya: Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencatatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.

(Riwayat Imam Ahmad)

Pada hakikatnya apabila Islam berperanan untuk melenyapkan permusuhan dan mendamaikan antara dua orang yang berselisih faham, juga membenarkan pendamai itu menyembunyikkan apa yang didengar dari kata-kata yang buruk, yang dikatakan seseorang itu kepada yang lain, dan menambah pula kata-kata yang baik dari mulutnya sendiri, yang tidak didengarnya dari salah seoarang antara kedua dalam suatu hal atau perkara, kerana hal tersebut dinyatakan di dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ بِكَذَابٍ مَنْ أَصْلَحَ بَيْنَ اثْنَينِ فَقَالَ خَيْرًا أَوْ نَمَّى خَيْرًا

Maksudnya: “Tidaklah dikira berdusta, sipa yang mahu mendamaikan antara dua orang yang berselisih, lalu dikatakannya segala yang baik-baik atau dia menambah apa yang baik.”

Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak perandakan hubungan antara satu sama yang lain supaya hancur binasa.

Orang seperti ini tidak hanya cukup untuk menyampaikan apa yang didengarnya sahaja, malahan perasaan ingin memporak perandakan yangad apada diri mereka itu akan mendorong mereka untuk menambah sesuatu benda yang lain daripada apa yang mereka dengar, iaitu dengan mencipta sesuatu yang tidak didengarnya itu.

إِنْ يَسْمَعُوا الخَيْرَ أَخْفَوْهُ, وَإِنْ سَمِعُوا شَرّاً أَذَاعُوا وَإِنْ لَمْ يَسْمَعُوا كَذِبُوا

Maksudnya: “Jika dengar baik mereka sembunyikan, sebaliknya dengar yang buruk mereka hebahkan, jika tidak dengar, lalu dusta.”

Suatu ketika seorang lelaki datang kepada Umar bin Abdul Aziz RA, lalu dia menyampaikan sesuatu yang tidak baik tentang seorang temannya. Lalu Umar bin Abdul Aziz RA berkata kepadanya: Sekarang kami terpaska menyiasat perkara ini! Jika kamu dusta, maka kamu termasuk dalam golongan orang yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya: “Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.”

(Surah al-Hujurat: 6)

Jika sekiranya kamu bercakap benar, maka kamu tergolong dalam kumpulan orang yang dikatakan dalam firman Allah SWT:

هَمَّازٍ مَّشَّاءٍ بِنَمِيمٍ

Maksudnya: “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)”

(Surah al-Qalam: 11)

Tetapi, jika kami memaafkan kamu dengan syarat kamu tidak akan melakukannya lagi? Lelaki itu menjawab: Maafkan sahaja, hai Amirul Mukminin, saya tidak akan mengulanginya lagi perbuatan itu. (Lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, 604-606)

Adab Menulis dan Menerima Berita

Kemelut pada zaman ini menyaksikan fitnah dan penyampaian berita sudah berkembang dengan pantas melalui media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja melayarinya dan menerima berita di seluruh dunia pada sepanjang masa.

Kecanggihan pelbagai alat komunikasi dibantu media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, blog, dan seumpamanya mempercepat penyampaian segala maklumat dan juga berita. media sosial seperti ini adalah termasuk alat komunikasi bagi memudahkan perhubungan sesama manusia.

Hukum asal menggunakannya adalah HARUS jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak. Ini berdasarkan kaedah fiqh, “Asal pada segala sesuatu itu harus.”

Namun, sesetengah masyarakat menggunakan media sosial ini dengan menyampaikan berita dan juga menerimanya tanpa memeriksa kesahihan sumber dan maklumat dalam berita tersebut. Maklumat atau berita yang diperoleh itu adakalanya membawa kepada perselisihan dan ada juga yang menyatakan kebenaran.

Namun secara pasti, limpahan maklumat pada hari ini yang mudah untuk diperoleh, tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya. Segala berita atau perkhabaran yang diperoleh tanpa asas kebenaran dan kepastian yang jitu, dapat mengundang kepada permusuhan dan perselisihan sesama kita.

Oleh itu, khabar yang benar, maklumat yang tepat dapat menjadikan kita sebagai seorang yang mampu untuk menilai, berfikir dan yang paling utama adalah bertindak di atas asas kebenaran yang kukuh dan menepati kehendak umum. Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperoleh menjadikan seluruh masyarakat hidup dalam keadaan sentiasa syak wasangka terhadap sesama sendiri, namun lebih mudarat lagi apabila melibatkan keluarga atau kerabat yang terdekat. Inilah bala dan perkara yang mesti di ambil peduli dan sikap yang tegas dalam mencari dan menyampaikan maklumat dan berita yang betul dan tepat. 

Menurut kamus Dewan edisi keempat berita bermaksud perkhabaran laporan tentang sesuatu hal atau kejadian. 

Antara Adab dalam menulis dan menyampaikan berita:

Tidak tergesa-gesa menyampaikan khabar dan berita tanpa mengetahui selok belok serta kepastian berita tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang dikatakan sebagai pendusta apabila dia bercakap mengenai semua yang didengar.”

Riwayat Muslim (4)

Begitu juga dengan sikap terburu-buru dalam menyampaikan berita, kerana sikap tergesa-gesa itu datang daripada syaitan sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَّأَنِّي مِنَ اللهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari setan.”

Riwayat al-Baihaqi (20270)

Tidak menyampaikan berita dengan tujuan al-Namimah (mengadu domba). Sesungguhnya perbuatan al-Namimah itu sangat dicela di dalam Islam kerana ianya boleh memecah belahkan masyarakat, sebagaimana larangan Nabi SAW berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ مَا الْعَضْهُ؟ هِيَ النَّمِيمَةُ الْقَالَةُ بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: “Mahukah aku ceritakan kepada kamu apa itu al’adhhu (الْعَضْهُ)? Itulah namimah, perbuatan menyebarkan berita untuk merosakkan hubungan antara sesama manusia”

Riwayat Muslim (2606)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menukilkan kata-kata ulama’ mengenai makna al-Namimah:

النَّمِيمَةُ نَقْلُ كَلَامِ النَّاسِ بَعْضِهِمْ إِلَى بَعْضٍ عَلَى جِهَةِ الْإِفْسَادِ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “al-Namimah adalah menyampaikan perkataan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosakkan hubungan di antara mereka” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/112)

Penyampaian berita itu tidak membuka aib orang lain.

Dalam sebuah hadith daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.

Riwayat al-Tirmizi (2032)

Perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain. Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.

Riwayat Muslim (1017)

Berdasarkan hadith ini, sekiranya sunnah sayyiah atau perbuatan buruk itu seperti menyebarkan berita palsu itu, disebarkan pula kepada orang lain dan ianya makin berkembang dan bertingkat-tingkat, maka orang yang memulakan perbuatan buruk dan berdosa itu akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang yang lain disebabkan perbuatannya membuka aib orang lain dan menyebarkan berita yang palsu dan tidak benar.

Antara Adab dalam menerima berita:

Menyemak berita tersebut serta bertabayyun mengenainya dengan konsep tabayyun di dalam Islam. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perkara ini menjadi salah satu agenda al-Quran di mana Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Surah al-Hujurat (6)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata: “Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyyakan ahli tafsir menyebut turunya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq.(Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/476)

Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adakah memeriksa dengan teliti yang dimaksudkan dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65).

Tidak menerima berita daripada orang yang fasiq dan juga sumber berita yang tidak berautoriti. Dalam menerima maklumat, lihatlah kepada mereka yang berautoriti agar maklumat yang diberikan benar dan tepat. Hal Ini bagi mendidik masyarakat untuk merujuk serta menerima berita dan juga menyemaknya kepada yang sepatutnya.

Imam Al-Sobuni berkata: Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitaka, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita. Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/216)

Tidak mudah menyebarkan berita yang diterima sewenang-wenangnya terutama jika ianya melibatkan aib dan maruah orang lain. Hal ini berdasarkan hadith yang riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا، إِلَّا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.

Riwayat Muslim (2590)

Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa berakhlak dan bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran. Kegagalan mengamalkan dalam menerima dan menyebarkan berita yang tidak berlandaskan syariat Islam dan konsep tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. Inilah diisyaratkan Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat keenam sebagaimana ulasan di atas.

Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah ini, dengan bantuan teknologi maklumat begitu canggih masa kini, umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan, menerima, mahupun berkongsi satu-satu berita.    
Di samping itu juga, pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melaluiFacebook, emel, twiter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak pasti akan ketepatan dan kesahihan maklumat.

Tambahan dari itu juga, medium seperti ini juga dijadikan tempat untuk memburukkan seseorang individu, penyebaran berita palsu yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama manusia.

Oleh itu satu kaedah menyatakan:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kepada kita semua kefahaman yang tepat dalam beragama. Ameen.

Isu Perundangan

Seksyen 499 Kanun Keseksaan (Akta 574) mendefinisikan “fitnah” sebagai:

“Barang siapa, sama ada dengan perkataan yang dituturkan atau yang dimaksudkan untuk dibaca atau dengan isyarat, atau denganpenyataan zahir, membuat atau menyiarkan apa-apa tohmahan mengenai seseorang, dengan maksud hendak merosakkan, atau dengan mengetahui atau dengan ada sebab mempercayai bahawa tohmahan itu akan merosakkan nama baik orang itu, adalah dikatakan, kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, memfitnah orang itu."

Selain itu, penyebaran maklumat berunsur fitnah atau menjatuhkan maruah orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Kanun Keseksaan. Seksyen 499 turut menghuraikan bahawa:

"Tiadalah apa-apa jua tohmahan dikatakan merosakkan nama baik seseorang, melainkan tohmahan itu, sama ada dengan tepatnya atau tidak, pada hemat orang lain, menjatuhkan watak akhlak atau watak kecerdikan orang itu atau menjatuhkan watak orang itu mengenai kastanya atau pekerjaannya, atau menjatuhkan keamanahan orang itu, atau menyebabkan supaya dipercayai bahawa tubuh orang itu ada dalam keadaan menjijikkan, atau dalam keadaan yang pada amnya dipandang keji."

Manakala Seksyen 500 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan fitnah sebagai: “Barang siapa memfitnah seseorang hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.”

Selain itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial kerana ianya adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 Akta tersebut.[1] Seksyen berkenaan memperuntukkan:

Larangan terhadap pemberian kandungan jelik

Tiada pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

Seseorang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kesimpulan

Dalam konsep menerima atau menyampaikan sesuatu berita itu, untuk memastikan kebenaran dan keabsahan sesuatu berita itu mestilah melalui beberapa proses supaya dapat memperhalusi dan meneliti khabar itu. Oleh itu, beberapa faktor-faktor yang patut diambil berat ialah:

Mestilah berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita.

Memastikan tidak akan berlakunya salah faham dan kesalahan dalam fakta yang boleh menyebabkan fitnah.

Memastikan kesahihan dan kebenaran berita yang diterima atau yang akan disampaikan.
Tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan sesuatu berita.

Menanamkan prasangka yang baik dan menjauhi su’u zhon sesama manusia.

Menjaga silaturrahim dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim diantara masyarakat.

Allah SWT melarang menyakiti saudara muslim dan menjanjikan azab yang berat kepada siapa yang mencemarkan kehormatan saudaranya. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.

(Surah al-Ahzab: 58)

Wallahualam

[1]https://www.skmm.gov.my/media/press-clippings/berhenti-sebar-sms-palsu-atau-sedia-didakwa-skmm


Moga bermanfaat untuk semua.

Akhukum fillah,

Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

You May Also Like

1 comments

  1. panjang lebar mufti jawab, harap yang terlibat bawa bertaubat lah

    ReplyDelete

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p