kena pandang tempat sujud sahaja ke semasa solat? tengok tempat lain boleh? - sayidahnapisahdotcom kena pandang tempat sujud sahaja ke semasa solat? tengok tempat lain boleh?
LightBlog

kena pandang tempat sujud sahaja ke semasa solat? tengok tempat lain boleh?

hanya boleh pandang tempat sujud sahaja ke semasa solat? | Assalamualaikum dan selamat sejahtera semuaa~! Orang ramai kebiasaannya pesan "jangan tinggalkan solat" , "solat lah di awal waktu".. tapi ada tak yang suruh kita "perbaiki lah solat fardhu"? Ada tak? Pernah terfikir tak.. kita solat tapi masih buat maksiat? Kita solat di awal waktu tapi masih 'susah' nak jadi baik? Banyak sebab nya, and one of the reason is because of..  ketika solat, tak khusyuk. Tak fokus. Fikiran ke tempat lain walaupun mata direct pandang tempat sujud.

Eh tapi.. kalau mata tengok ke tempat lain selain dari sejadah (tempat sujud) boleh ke? Apa hukum nya?


HUKUM SOLAT TIDAK MEMANDANG KE TEMPAT SUJUD - Mufti Wilayah Persekutuan

hukum solat tidak memandang ke tempat sujud
kena pandang tempat sujud sahaja ke semasa solat? tengok tempat lain boleh?
Soalan:

Bolehkah tuan jelaskan berkenaan hukum seseorang itu solat dalam keadaan matanya tidak memandang ke tempat sujud?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu ini kita hendaklah mengetahui bahawa terdapat larangan ke atas perbuatan memandang ke langit semasa solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلاَتِهِمْ

Maksudnya: Apalah masalahnya dengan kelompok manusia yang mengangkat pandangan mereka ke langit di dalam solat mereka.

Baginda menegaskan kenyataan ini dengan katanya:

لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارُهُمْ

Maksudnya: Hendaklah mereka berhenti dari melakukan hal tersebut atau akan dihilangkan penglihatan mereka (menjadi buta).

Riwayat Al-Bukhari (750)

Hadis di atas ini secara jelas menunjukkan penegahan yang kuat terhadap perbuatan memandang ke langit semasa sedang mendirikan solat. Cumanya para ulama berbeza dalam menetapkan larangan tersebut adakah menunjukkan kepada haram ataupun membawa hukum makruh.

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadis ini menukilkan kata-kata dari Imam Ibn Battal yang menyebut: Para ulama telah ijma’ ke atas kemakruhan mengangkat pandangan ke atas semasa sedang solat. Lihat Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272).

Kami menyatakan, dakwaan Imam Ibn Battal berkenaan ijma’ di situ tidaklah membawa erti bahawa tiada ulama lain yang menetapkan hukum yang berbeza. Bahkan Syeikh Syams Al-Haq Al-Azhim Abaadi berkata: ‘’Secara zahirnya mengangkat pandangan dalam keadaan sedang bersolat hukumnya adalah haram. Ini kerana, hukuman menjadi buta itu tidaklah berlaku melainkan terhadap perbuatan yang haram. Pendapat yang masyhur di sisi Syafi’eyyah menyebut hukumnya adalah makruh. Manakala Ibn Hazm telah berlebihan sehingga mengatakan perbuatan tersebut membatalkan solat’’. Lihat ‘Aun Al-Ma’bud, Al Azhim Abaadi (3/134).

Hikmah larangan di dalam hadis tersebut adalah seperti yang disebutkan oleh Al-Qadhi Iyadh Rahimahullah: ‘’Mengangkat pandangan di dalam solat padanya sedikit makna berpaling dari kiblat, dan terkeluar dari hai’ah (pergerakan) solat’’. Lihat Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272).

Selain itu, para ulama juga berbahas mengenai tempat pandangan dihalakan semasa seseorang sedang solat. Kebanyakan mereka berpandangan bahawa disunatkan untuk seseorang yang solat itu menghadapkan pandangan mereka ke tempat sujud. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar yang menukilkan kenyataan Muhammad Ibn Sirin yang berkata:

‘’Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah S.W.T:

قَد أفْلَحَ المُؤمِنُون الَّذِينَ هُم فِي صَلاتِهِم خَاشِعُون

Maksudnya: Telah berjayalah golongan yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyu’ di dalam solat mereka.

Surah Al-Mu’minuun (1-2)

Maka mereka pun beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka’’. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272).
hukum solat tidak pandang ke tempat sujud
hukum solat tidak pandang ke tempat sujud
KESIMPULAN

Sebagai penutup, setelah kami menekuni beberapa hujahan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa makruh hukumnya seseorang itu tidak memandang ke tempat sujudnya semasa solat. Dalam erti kata dia memandang ke kiri dan ke kanan, atau dia mengangkat pandangannya ke atas. Kerana hal sebegini adalah amat berjauhan dengan konsep solat yang memerlukan seseorang itu untuk khusyuk, khudu’ (tunduk), serta tekun. Manakala disunatkan untuk mereka yang solat menundukkan pandangan mereka menghadap ke tempat sujud.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.


Moga bermanfaat!

Daa~ wassalam! :)


Post a Comment

1 Comments

  1. insha Allah..moga kita sentiasa mengamalkan sunat dalam solat :D

    ReplyDelete

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p