TIPS PEMILIHAN BIDANG KERJAYA DAN UPU - sayidahnapisahdotcom TIPS PEMILIHAN BIDANG KERJAYA DAN UPU
LightBlog

TIPS PEMILIHAN BIDANG KERJAYA DAN UPU

TIPS PEMILIHAN BIDANG KERJAYA DAN UPU


Assalamualaikum W.B.T

Setiap tahun selepas dapat keputusan exam SPM atau STPM, inilah antara isu yang selalu timbul. "Nak pilih bidang apa?". Tu tak pe lagi, yang lagi pening bila Ayah nak kita pilih benda lain, mak nak kita pilih bidang lain. Atok pula duk membebel suruh pilih bidang lain. Lagi lah pening. Tambah-tambah bila tengok result tak seberapa.
TIPS PEMILIHAN BIDANG KERJAYA DAN UPU
TIPS PEMILIHAN BIDANG KERJAYA DAN UPU | sumber: Google
Yang keduanya pula bila balik kampung, mak sedara tanya result. Belum sempat kita jawab, mak dah jawab dulu. "Haaa..anak aku tak macam anak engkau. Anak aku ni pemalas, padanlah dengan result dia". Telan air liur kita dibuatnya. Yang cemerlang orang tak tanya pun kita da bercerita, mak da bercerita. Hebah satu kampung.

Kepada ibubapa sekelian. Setiap anak ini ada kelebihan tersendiri. Cumanya anak kita tau dan kenal tak kat mana kelebihan dia. Sebagai ibu bapa kita tau tak mana kelebihan anak kita. Pernah perhati tak, pernah tengok tak, pernah tanya tak, pernah bincang tak? Kalau semua tak pernah maknanya ada masalah lah kita punya hubungan dengan anak-anak. Sebab tu anak-anak ni kita kena Bangunkan kelebihan mereka bukan membesarkan kelemahan.

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi kisah tentang diri saya yang tak seberapa berkenaan dengan pemilihan kerjaya saya dan apa yang saya lalui. Ramai lagi orang lain yang pengalamannya lebih menarik. Cumanya saya nak kongsi sebab nak bantu adik-adik yang tengah pening fikir untuk isi UPU dan juga merancang kerjaya.

Saya dulu bersekolah rendah di SK Kubang Kerian 3. Kemudian di SMU (A) Maahad Muhammadi. Saya ni pelajar yang agak nakal juga sebab terlalu sibuk sehingga jarang sekali masuk kelas. hehe. Sampai ramai cikgu yang bersungguh-sungguh cari saya di bilik disiplin. Antaranya cikgu Kasmah dan lain-lain. Hehe. Ada waktu bila kerja sekolah tak siap saya sibukkan diri bertugas dan pelbagai lagi kaedah yang tak boleh saya dedahkan. Bukan apa takut jadi ikutan. Heheh.

Saya ingat lagi cikgu biologi saya, cikgu zaim. Dia pernah sebut pada saya "terima kasih fadzli kerana sudi masuk kelas saya" Terasa yang amat masa tu. Kehadiran pula mereka ambik sekiranya mereka nampak beg saya dalam kelas. Kalau beg ada, maksudnya saya hadirlah tu. heheh.

Ok. Bila saya insaf? Sebulan sebelum exam. Jadi masa tulah tetiba jadi macam Albert Einstein. Tekun yang amat ulangkaji, buat study group khususnya di Taman Edy @ Edy Park. Terima kasih kepada semua ahli-ahli kelab taman edy iaitu Aidil, Mursyidi, Hanif, Iskandar, Thahar, Izuan, Afham , Zaki dan lain-lain. Masa tulah baru rasa Ya Allah, mudahnya belajar. Takde lah susah sangat. Tapi kenapa dulu susah yang amat? Huhuhuh. Masa tinggal beberapa hari lagi. Dia jadi mudah tu sebab bila ada tekanan barulah kita bergerak dan bertindak. Yang takut tu bila kita tak risau dan tak takut kalau tak leh jawab exam, itu lagi bahaya.

Akhirnya SPM tiba. Masa tu memang tak lain tak bukan, tawakkal jelah. Fuh, macam-macam dugaan berlaku antaranya slip masuk dewan hilang dan macam-macam lagi. Apapun selesailah...

Dipendekkan cerita, keputusan SPM akhirnya tiba. Tak disangka-sangka, dalam masa hanya sebulan sahaja yang pulun tu, dapatlah 3A. Alhamdulillah. A tu adalah Bahasa Arab Tinggi, Matematik Moden dan FIzik. Heheh. Terima kasih buat semua cikgu-cikgu saya yang sampai hari ni sentiasa membantu saya. Kalau tiada cikgu-cikgu ni, saya tak mampu sampai tahap ini hari ini. Hanya Allah yang dapat balas semua jasa-jasa cikgu.

Ok, sambung. Saat ini lah antara paling pening selepas dapat result. Nak buat pilihan apa ye?

Saya isi je apa peluang yang ada termasuklah matrikulasi, asasi Sains UM, UIA dan banyak lagi. Yang paling saya nak masa tu adalah program berkembar dengan Darul Quran Jakim dan UIA. Tapi tak de rezeki. Huhuhu...sedih.

Apa yang saya dapat?

Yang paling cepat dapat keputusan masa tu adalah kolej matrikulasi. Saya tak sangka dapat dengan keputusan serendah itu. Akhirnya belajarlah saya di Kolej Matrikulasi Kedah. Masa tu adalah batch pertama sebab kolej baru. Ambik sains fizik. Mula-mula terasa macam nak jadi Doktor je cita-cita. Macam best je jadi Doktor. Jadi saya cuba untuk tukar kursus. Nak ambik Sains Fizik. Tapi tak dapat sebab saya punya result Fizik lagi tinggi dari biologi. takpelah...teruskan je lah

Terumbang ambing masa tu. Masa tu nekad juga tak nak aktif dah sebab nak fokus belajar. hehe. Skema. Tapi takdirnya kawan baik saya Syazwan yang bersungguh nak saya sertai pilihanraya. Siap dia isikan borang lagi. Takdir plak menang masa tu jadi YDP JPP. Huhuhu. Antara belajar dan berorganisasi.

Pendek cerita. Semester pertama keluarlah keputusan. saya dapat 2.45. sedih nya... Akhirnya saya kata semester kedua saya letak jawatan dan saya nak pulun belajar sungguh-sungguh. Saya buat study group, dan macam-macam usaha yang saya tak pernah buat sebelum ni. Rasa macam buang tebiat pun ada. Akhirnya dapatlah keputusan...hehe. Alhamdulillah. ada PENINGKATAN. Saya dapat 2.47. Naik sikit. heheh. Akhirnya jadi PENING + KATAN. Pelik, dah usaha macam-macam tapi tak berhasil. Kenapa ye? Saya rasa ramai juga yang alami apa yang saya alami.

Akhirnya saya jumpa kaunselor kolej. En Azmi. Sampai sekarang saya ingat sebab sangat-sangat menghargai bantuan beliau. Beliau bagi saya satu ujian yang diberi nama SDS untuk kenal diri dan personaliti kerjaya.

Rupa-rupanya setelah saya jawab ujian tu, kerjaya yang paling sesuai dengan saya adalah Kaunselor. Keselarasan 100 %. Masa tu tanpa fikir panjang lagi saya terus cari maklumat berkenaan dengan kerjaya kaunselor. Bila fikir-fikir balik, patutlah susah bebenor belajar sains sebab jiwa lain kut. Cara fikir pun tak berapa nak kena. Tambahan lagi saya ni kidal.

Baik, waktu isi UPU, pilihan pertama saya adalah Kaunseling, UPM. Pilihan kedua, Perubatan, UMS (heheh. ada hati). Pilihan ketiga, Optometrist, UKM. Memang masa ni fokus pada pilihan pertama je. Yang lain merapu. heheh.

Pendek cerita, akhirnya dapatlah UPM walaupun macam-macam yang berlaku dan pada asalnya saya tak dapat dan tak dipanggil temuduga pun. Tapi saya da nekad yang saya nak juga bidang ni. Saya pun usahakan berhubung dengan P.I.C fakulti dan buat rayuan. hehe. Alhamdulillah akhirnya dipanggil temuduga. Tapi biasalah, nama tak de dalam senarai. Pukul 8 pagi datang, pukul 5 petang baru ditemuduga. Alhamdulillah, saya dapat tempat.

Ok, ini perubahan yang saya alami. Sewaktu belajar di UPM tiba-tiba saya jadi orang yang sangat berbeza. Cara belajar saya macam biasa, tapi yang paling penting, saya seronok belajar, enjoy dan memang sangat fokus dalam kelas. Sem 1 keputusan saya 3.92. Terkejut saya masa tu. Saya rasa saya belajar biasa-biasa jer.

Rupanya bidang ini adalah bidang yang tepat dengan minat saya, karekter dan personaliti saya. Walaupun saya sudah sibuk pada masa tu sebab terlibat dengan UNIC, Alhamdulillah result saya ok. Banyak kali saya ulangkaji, buat assignment, siapkan paper dalam studio, atas kereta, kat tempat show dan macam-macam tempat lagi. Banyak kali juga tak tidur malam sampai beberapa hari. Banyak kali juga saya ada exam pagi besoknya jam 8 pagi, malamnya saya berada di tempat show macam di UUM.

Habis Show jam 1 pagi terus balik KL dan sampai lebih kurang jam 6 pagi. Solat subuh, tidur kejap, bangun terus siap-siap, pergi dewan jawab exam. Alhamdulillah 4 tahun saya bergraduat dalam bidang Bac. Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling) dengan kepujian Kelas Pertama. Alhamdulillah. Merasa juga dapat Anugerah Naib Canselor UPM, Anugerah Sains Kemasyarakatan Peringkat Negeri Kelantan dan lain-lain.

Saya terfikir apa yang merubah saya?

Rupanya penting untuk menikmati apa yang kita miliki. Seronok, minat dan teruja adalah emosi yang sangat penting untuk melonjakkan kita menjadi orang yang lebih berjaya dalam masa yang sama bahagia.
TIPS PEMILIHAN BIDANG KERJAYA DAN UPU
Oleh sebab tu berdasarkan pengalaman ini, beberapa panduan yang boleh saya berikan sebelum anda buat pilihan:

1. Kenal dan terokai diri - personaliti, minat, nilai, kebolehan, peluang yang ada berdasarkan kelayakan.

Motivasi, pencapaian, prestasi kita akan berada pada tahap optimum bila kita belajar dan bekerja dalam bidang yang kita suka dan minat.

Jumpa kaunselor dan ambiklah ujian psikometrik yang sesuai dan dapatkan pandangan daripada beberapa pihak seperti ibu bapa dan kenalan. Penting untuk jumpa kaunselor sebab kaunselor adalah orang yang terlatih untuk bantu anda.

2. Tetapkan matlamat kerjaya berdasarkan personaliti, minat & peluang berasaskan keputusan SPM. Biarlah apa yang kita minta tu adalah sebahagian daripada perancangan untuk capai kerjaya.

Bincang dengan ibubapa. Sebelum pilih bidang perlu untuk tahu apa matlamat kerjaya kerana pilihan bidang adalah laluan kepada kerjaya. Salah laluan akan menyebabkan salah kerjaya. Yang lebih rugi apabila asyik tukar bidang sewaktu belajar di Universiti. Orang lain dapat degree dalam masa 4 tahun, kita dah dekat 6 tahun tak siap-siap lagi degree.

3. Dapatkan maklumat tentang kerjaya tersebut secukupnya. Dari segi peluangnya, prospeknya, gajinya, kriterianya, peluang pengajiannya, bidang kerjanya dan pelbagai lagi. Kita gagal buat keputusan biasanya sebab tak cukup maklumat. Lagi banyak maklumat lagi bagus. Sekarang ni senang, guna je Mr GooGle, macam-macam maklumat dan perkongsian boleh dapat.

4. Senarai pendekkan pilihan-pilihan pengajian yang berkaitan daripada universiti yang ada. Cuba google dan cari sedikit maklumat adakah bidang pengajian yang ditawarkan di IPT yang kita pilih tu dah lama berkembang ataupun masih baru di IPT itu. Lebih bagus kalau kita pilih IPT yang dah established dalam bidang pilihan

5. Solat Istiqarah dan Doa
Minta lah dengan Allah bantuan dan petunjuk dalam membuat pilihan agar kita dapat memilih yang Allah tau adalah yang terbaik untuk kita. Ikhtiar kita da buat, tetapi ingat hanya DIA yang tau apa yang terbaik walaupun kita rasakan pilihan kita yang terbaik. Bila kita serah padaNYA, kita akan gembira dengan apa sahaja tawaran bidang yang kita dapat.

6. Buat pilihan bidang dan Universiti
Sekarang ni banyak Universiti Awam (UA) yang dapat pengiktirafan tertentu seperti Research University (RU) seperti UPM, UM , UKM USM dan UTM. Apex University plak adalah USM.

Jangan lupa setiap keputusan adalah perlu untuk berbincang dgn ibubapa supaya ianya menjadi keputusan bersama. Bukan keputusan kita sahaja atau ibubapa sahaja. Bila hanya keputusan sebelah pihak, bimbang satu masa nanti akan saling menyalahkan bila perancangan berjalan tidak seperti yang dirancang.

7. Lengkapkan segala keperluan borang dan buat penelitian berkali-kali. Supaya tidak berlaku kecuaian.

8. Sertai pelbagai kursus peningkatan kemahiran diri samada Hard Skill atau Soft Skill sebab semua kemahiran ini akan bermanfaat dan menambah nilai diri samada sewaktu di Universiti atau dalam kerjaya nanti.

Insyaallah. Itu sahaja sedikit perkongsian saya. Moga bermanfaat buat adik-adik dan ibubapa. Moga Allah mudahkan segala urusan. Selamat menempuhi alam baru.

kita merancang, Allah juga merancang dan sebaik perancangan adalah perancangan ALLAH.

Wallahu A'alam~


Post a Comment

1 Comments

  1. Betul. Sebolehnya teliti minat dan terokai potensi diri untuk lebih berjaya dalam bidang kerjaya yang diceburi

    ReplyDelete

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p