TEKS PENUH UCAPAN KHAS PROKLAMASI DARURAT MALAYSIA sehingga 1 Ogos 2021! - Muhyiddin - sayidahnapisahdotcom TEKS PENUH UCAPAN KHAS PROKLAMASI DARURAT MALAYSIA sehingga 1 Ogos 2021! - Muhyiddin
LightBlog

TEKS PENUH UCAPAN KHAS PROKLAMASI DARURAT MALAYSIA sehingga 1 Ogos 2021! - Muhyiddin

Intipati Utama Pengumuman Khas Darurat Perdana Menteri Januari 2021


Ordinan Darurat perlu untuk kekang penularan #COVID19 daripada menjadi serius. 


Darurat: Kerajaan awam akan terus berfungsi.


Proklamasi darurat yang diisytihar bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera, perintah berkurung juga tidak dilaksanakan. 


Jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat. 


Ordinan Darurat untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam. 


Aktiviti ekonomi akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat, tertakluk pematuhan SOP. 


Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti akan terus main peranan sebagai pemudahcara pasaran 


Darurat: Parlimen dan DUN tidak akan bersidang sehingga satu tempoh yang ditetapkan.


Plihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat.


PRU akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas memperakukan bahawa #COVID19 telah reda atau pulih sepenuhnya.


Semua ahli politik perlu bersolidariti bersama rakyat mencegah #COVID19.


Rakyat diminta kekal tenang, berikan kepercayaan kepada kerajaan bendung COVID-19 dengan lebih berkesan.


Ordinan perangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan boleh dimasyurkan oleh Agong. 


Darurat: Kuasa eksekutif Persekutuan meliputi kuasa perundangan negeri kecuali hukum syarak, undang-undang atau adat negeri di Sabah, Sarawak. 


Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang cuba ganggu urusan kerajaan tangani #COVID19  dan urus ekonomi negara - PM @MuhyiddinYassin.


Sumber: MKN (Rasmi)

pengumuman khas darurat malaysia perdana menteri

pengumuman khas darurat malaysia perdana menteri

pengumuman khas darurat malaysia perdana menteri

pengumuman khas darurat malaysia perdana menteri

pengumuman khas darurat malaysia perdana menteri

pengumuman khas darurat malaysia perdana menteri


TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA 


Bismillahirrahmanirrahim. 

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, 


Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal áfiat. 


1. Susulan kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan oleh Istana  Negara berhubung Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa di negara ini,  saya berdiri di hadapan saudara dan saudari sekalian pada pagi ini untuk  membuat beberapa penjelasan. 


2. Semalam saya telah diterima menghadap oleh Kebawah Duli Yang  Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk  mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda  mengeluarkan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150(1)  Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan Darurat bagi seluruh  Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021  untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.


3. Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: 

“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat  besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau  kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan  atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan  Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan  membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud  sedemikian”.  


4. Menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, ancaman  terhadap kehidupan ekonomi merupakan salah satu asas untuk sesuatu  proklamasi darurat dibuat. Dalam kes Stephen Kalong Ningkan lawan  Kerajaan Malaysia, Majlis Privi menyatakan dalam penghakimannya  bahawa - 

“An emergency to be within that article (article 150(1) of the Federal  Constitution) must be not only grave but such as to threaten the  security or the economic life of the Federation or any part of it, the  natural meaning of the word itself is capable of covering a very wide  range of situations and occurrences, including such diverse events  as was famines, earthquakes, floods, epidemics and the collapse of  the civil government.”. 


5. Dalam hal ini, memandangkan dunia pada masa ini sedang  berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang telah secara  langsung menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di 


negara ini, suatu perisytiharan darurat boleh dibuat oleh Kebawah Duli  Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan perkara ini. Selain peningkatan mendadak kes positif  COVID-19, terdapat beberapa negeri di Malaysia seperti Johor, Pahang  dan Kelantan yang sedang mengalami bencana banjir yang besar yang  telah secara langsungnya turut menjadi ancaman besar terhadap  keselamatan dan kehidupan ekonomi rakyat.  


6. Seperti yang telah saya jelaskan semasa mengumumkan  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semalam, kes jangkitan  COVID-19 semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda  penurunan dalam masa terdekat. Oleh itu, Kerajaan perlu mempunyai  kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung  dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan  kepada rakyat tidak lumpuh. 


7. Setelah mempertimbangkan nasihat Jemaah Menteri, Seri Paduka Baginda telah berpuas hati bahawa adanya keperluan mengeluarkan  Proklamasi Darurat bagi membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah  Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk  mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak  COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.  

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, 


8. Izinkan saya memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai bentuk  darurat yang berkuatkuasa di negara ini. Ingin saya tegaskan bahawa  darurat yang diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri  Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah satu bentuk rampasan 


kuasa tentera. Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.  Sebaliknya, sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus  berfungsi.  


9. Let me assure you that the civilian government will continue to  function. The emergency proclaimed by the Yang di-Pertuan Agong is not  a military coup and curfew will not be enforced.  


10. Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis  Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan  Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli  Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari  semasa ke semasa. Saya memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran  dan perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri  tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.  


11. Sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas  hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu  baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan  semasa.  


12. Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan  oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang  merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta,  pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital  swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital  swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19. 


13. Sehubungan itu, Kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan  yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan  penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang  ditanggung oleh agensi Kerajaan terutamanya hospital awam. Menerusi  ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi  sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.  


14. Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan ini juga akan  digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan  yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara  pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini. 


15. Suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan  kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia selain kuasa  yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis  Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana  undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan. 


16. Angkatan Tentera Malaysia juga akan diperuntukkan kuasa untuk  membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan  awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang  berkaitan semasa pandemik ini. Selaras dengan Proklamasi Darurat ini,  aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan  memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk  menangkap PATI dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan  negara.


17. Selain itu, suatu Ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk  meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta ini dalam  membendung penularan COVID-19. Ini termasuk meningkatkan penalti  atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan  peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19. 


18. Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi,  monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa  pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda. Tindakan  penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh  dikenakan untuk tujuan ini. 


19. Semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha  Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan dan  boleh diketahui oleh rakyat.  

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, 


20. Dalam tempoh darurat ini juga, kuasa eksekutif Persekutuan akan  meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi  apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Sabah atau  Sarawak, agama, kewarganegaraan dan bahasa, selaras dengan Fasal  6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. 


21. Selain itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan  bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan  Agong. 


22. Sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, Pilihan Raya Umum,  Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan. Dalam  keadaan biasa, Pilihan Raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari  selepas kerusi diisytiharkan kosong. Pilihan Raya Negeri juga mesti  diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri  dibubarkan. Sedangkan kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan  Raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti  yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini. 


23. Untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil  dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah  suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat  besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat  kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari  tarikh yang ditetapkan. 

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, 


24. Mutakhir ini terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya pilihan  raya diadakan. Saya tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya.  Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Kebawah  Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar  membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum  diadakan ialah pandemik COVID-19.  


25. Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik  COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima  prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs. Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk  menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian  daripada jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama  yang dituntut oleh agama Islam. 


26. Justeru, saya memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan  Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas  yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah  reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk  diadakan. Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih  kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga  kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji  saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah. 


27. Bagi saya, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi  satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik  mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama  rakyat. Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh  bertanggungjawab. 


28. Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini,  badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan  keadilan. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan  kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri  urusan mahkamah. The judiciary will continue to be the beacon of justice  in our country and I will never interfere in the business of the court.


29. Aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada  SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa. Kerajaan  akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk  terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus  beroperasi seperti biasa. 


30. Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan  governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat. Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat  antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta  Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai  pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran. 


31. To all the stakeholders keenly monitoring what is happening in  Malaysia, I emphasise that Malaysia is open for business. In facing these  challenging times, this Period of Emergency will give us much needed  calm and stability, as well as enable us to focus on economic recovery  and regeneration. We remain committed to good governance in these  times and we have a robust and dynamic regulatory ecosystem. We must  remember that the Government has a 6-stage strategy in place for  economic recovery since March last year and were incorporated in the  Budget 2021. Continued stability will enable us to sustain and build upon  the economic recovery trajectory we have been working hard for since last  year.  

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, 


32. Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih  berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan. Saya juga menyeru  kepada semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan  kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan  masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi  situasi yang amat sukar ini. Yang penting, matlamat kita hanyalah satu  iaitu kita mesti menang dalam memerangi COVID-19. 


33. Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat  sepanjang tempoh PKP dan darurat yang berkuatkuasa ini. Mudah mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 dengan  segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan  negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif  COVID-19 saban hari. 


34. Saya memberi amaran keras, sesiapa yang cuba mengganggu gugat usaha Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi  negara akan diambil tindakan tegas demi kesejahteraan rakyat dan  keselamatan negara. 


35. Saya juga berharap agar para alim-ulama’ dan pemimpin agama  dapat mendoakan kesejahteraan negara kita dan mudah-mudahan kita  semua dilindungi daripada sebarang bala bencana. 


36. Saya bagi pihak Kerajaan sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha  Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam  memperkenankan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani pandemik COVID-19  dengan lebih berkesan.  


37. Saya berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Putera dan  Puteri Tuanku, seluruh kerabat duli Tuanku dan sekalian rakyat jelata  terus dilindungi oleh Allah SWT. Mudah-mudahan wabak COVID-19 yang  sedang melanda negara kita segera berakhir. Amin, Amin Ya Rabbal  Alamin. 

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa  barakatuh.  


YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

12 Januari 2021


File PDF TEKS UCAPAN PENGUMUMAN KHAS DARURAT OLEH YAB PM :

https://drive.google.com/file/d/1-ffFd67RmkGt0nYeXR88wQP-X2hReFdN/view?usp=sharing


Post a Comment

2 Comments

  1. panjang teks ucapan ni... penuh makna tersirat dan tersurat

    ReplyDelete
  2. berharap sangat langkah yang diambil ni dapat flatten the curve, sekali gus selamatkan ekonomi kita

    ReplyDelete

Silakan comment. Jangan malu, jangan segan yew :p